ASEAN undang wakil bukan politik Myanmar ke sidang kemuncak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wakil bukan politik dari Myanmar akan diundang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, kata Pengerusi Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, pada Sabtu.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat tergempar Menteri Luar ASEAN secara maya pada Jumaat, pengerusi itu berkata, negara anggota ASEAN berbincang mengenai persoalan perwakilan Myanmar pada Sidang Kemuncak itu.

Tiada banyak kemajuan yang dicapai berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara oleh Myanmar, serta timbul kebimbangan terhadap komitmen Myanmar, terutama mewujudkan dialog konstruktif dalam kalangan pihak bertelagah.

Pada masa sama, sesetengah negara anggota ASEAN mencadangkan, blok serantau itu memberi peluang kepada Myanmar untuk memulihkan hal ehwal dalam negara itu, sejajar dengan hasrat rakyat.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa beberapa negara anggota ASEAN menerima surat daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), memohon supaya mereka dijemput menghadiri sidang kemuncak itu.

“Selepas berbincang panjang lebar, tiada kesepakatan dicapai berhubung penyertaan wakil politik dari Myanmar untuk Sidang Kemuncak ke-38 dan ke-39 ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober 2021.

“Oleh kerana, dengan mengambil kira wujud permintaan sambil menjunjung prinsip tidak campur tangan anggota ASEAN terhadap hal ehwal dalam negara anggota lain serta memberikan ruang kepada Myanmar untuk memulihkan hal ehwal dalamannya, mesyuarat menerima keputusan untuk menjemput wakil bukan politik daripada negara itu pada sidang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat pada Jumaat itu turut menyaksikan pembentangan laporan Duta Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar berhubung tugasnya selaku pemudah cara pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, yang diluluskan oleh pemimpin pertubuhan serantau itu di Jakarta pada 24 April lalu.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Luar ASEAN menyuarakan penghargaan terhadap usaha berterusan Duta Khas itu (Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof).Sambil menegaskan kepentingan lawatan Duta Khas itu ke Myanmar, mereka juga menekankan kepentingan akses kepada semua pihak bertelagah serta menjunjung Konsensus Lima Perkara,” kata kenyataan itu.

Menteri Luar ASEAN turut mendengar dengan teliti penjelasan Myanmar berhubung pelaksanaan konsensus itu, termasuk pandangan mereka bahawa Duta Khas seharusnya mengelak bertemu anggota parti yang kini menghadapi perbicaraan, seperti Aung San Suu Kyi dan U Win Myint serta pihak yang diisytihar haram dan melanggar undang-undang seperti Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), NUG dan Pasukan Pembela Rakyat (PDF).

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan kesediaan Myanmar untuk terus bekerjasama rapat dengan Duta Khas itu sambil menegaskan keperluan terhadap tolak ansur bagi membina keyakinan dan kepercayaan serta kepentingan terhadap akses kepada semua parti yang terbabit.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN turut menegaskan kepentingan menjunjung prinsip yang terpancar daripada Perlembagaan ASEAN sambil pada masa sama mengiktiraf keadaan di Myanmar yang memberi kesan terhadap keselamatan serantau serta perpaduan, kewibawaan serta kepusatan ASEAN sebagai organisasi yang berlandaskan peraturan.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan sidang kemuncak yang bakal berlangsung dua hari bermula 26 Okt depan. Mesyuarat akan diadakan menerusi sidang video. - Bernama