Md Nor lepas jawatan Pengerusi TH bukan sebab tekanan politik

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pek makanan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Bangunan Tabung Haji (TH) Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pek makanan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Bangunan Tabung Haji (TH) Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan Tan Sri Md Nor Yusof pada Jumaat yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mempunyai kaitan dengan tekanan politik, tegas Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, sekiranya tekanan politik itu wujud sudah lama jawatan yang digalas oleh Md Nor diganti dengan individu lain.

"Untuk makluman Md Nor adalah Pengerusi TH yang dilantik pada zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Kalau campur tangan politik, semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin lagi kita tukar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pek makanan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Bangunan Tabung Haji (TH) Kelantan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas peletakan jawatan Md Nor sebagai Pengerusi TH pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Md Nor lepas jawatan Pengerusi TH

Menurutnya, proses yang berlaku adalah perkara biasa dalam sesebuah organisasi.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, hal ini kerana setiap menteri baharu yang menggalas tanggungjawab mempunyai perancangan tersendiri untuk TH.

Artikel Berkaitan:

"Menteri boleh bertukar lebih kerap, jadi satu perkara biasa jika pengurusan atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah agensi kerajaan bertukar.

"Kita melihat kepada kesesuaian dan perancangan strategik dalam membuat perubahan," katanya.

Menurutnya, perubahan kepakaran itu penting untuk membawa TH ke landasan terbaik dengan lebih cepat.

Md Nor dilantik sebagai Pengerusi TH pada 13 Julai 2018 menggantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang berkhidmat sebagai Pengerusi TH dari 1 Julai 2013 sehingga akhir Mei 2018.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Md Nor Yusof melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman peletakan jawatannya itu dibuat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TH.