KPWKM tangani isu penempatan kanak-kanak

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu penempatan kanak-kanak bersama petugas yang layak dan sesuai.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya telah menambah baik beberapa garis panduan yang khusus bagi penjaga kanak-kanak.

Ujar beliau, isu tersebut telah menarik perhatian masyarakat baru-baru ini.

“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah mengehadkan pengambilan kanak-kanak di bawah jagaan pada satu masa mengikut kesesuaian, membuat pemantauan secara berkala ke atas kanak-kanak sepanjang penempatan mereka bersama-sama orang yang sesuai dan layak dengan mereka.

“Ketiga, nekad menambah baik prosedur pengurusan pusat jagaan kanak-kanak bersama pusat jagaan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), dengan menekankan aspek pengasuhan dan latihan yang berkualiti untuk penjaga dan petugas pusat jagaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Majlis Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2021 secara dalam talian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rina berkata, tema Hari Kanak-Kanak 2021 iaitu ‘Anak kita masa depan kita’ selaras dengan manifestasi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu dalam memperjuangkan hak kanak-kanak pada masa akan datang.

“Ia juga sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lalu dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 iaitu kanak-kanak juga adalah golongan yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Usaha tersebut akan tercapai dengan memupuk, menyemai, dan mempertahankan ciri-ciri kerangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang kita miliki,” ujarnya.

Majlis Perasmian Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2021 anjuran JKM WPKL, disusuli dengan Majlis Khatam Al-Quran bagi pelajar Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh.