Pengecualian faedah terakru: Dakwaan bank terkesan, terbeban meragukan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan bank akan terbeban dan terkesan sekiranya memberi pengecualian faedah terakru terhadap moratorium bayaran balik pinjaman tahun ini sebagai meragukan.

Ini kerana katanya, keadaan itu bertentangan dengan 'berita' tentang bank-bank di Malaysia mengisytiharkan keuntungan berbilion ringgit tahun lalu di sebalik implikasi pemberian pertama moratorium bayaran balik pinjaman kepada rakyat.

Malah katanya, pengecualian yang didakwa akan turut menyebabkan bank menghadapi kesukaran untuk membayar dividen kepada pelabur serta dana institusi simpanan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Permodalan Nasional Berhad (PNB); Tabung Haji (TH); Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga diragui.

"Bank barangkali mengalami sedikit perbezaan keuntungan berbanding apa yang mereka 'forecast' kerana perlu melepaskan faedah terakru, tetapi tidaklah sehingga merekodkan kerugian atau menjejaskan kelangsungan operasi.

"Perlu ingat bank masih mencatatkan keuntungan berbilion ringgit sedangkan banyak pemain industri atau sektor lain telah dan sedang mengalami kerugian teruk akibat pandemik sehingga mengundang lambakan pengangguran di sana sini," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Tambahnya, pemberian moratorium bayaran balik pinjaman adalah tujuan untuk membantu mereka yang terjejas bangkit daripada kemusnahan ekonomi, bukannya untuk memberi peluang institusi kewangan menjana 'long term revenue' atau pendapatan jangka panjang.

"Pemberian moratorium bayaran balik pinjaman tanpa faedah terakru selari dengan falsafah Keluarga Malaysia iaitu tiada sesiapa ketinggalan dalam perjalanan negara pulih daripada kemusnahan ekonomi.

"Kerana itu kita tetap berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri iaitu kerajaan baharu memahami situasi yang dihadapi rakyat dan akan membantu sebaik-baiknya dalam isu faedah terakru moratorium bayaran balik pinjaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan masih belum membuat keputusan khusus mengenai permintaan beberapa pihak, agar dihapuskan faedah terakru terhadap peminjam yang terkesan.

Menurutnya, berdasarkan perbincangan awal dengan institusi perbankan, penghapusan faedah terakru akan memberi kesan terhadap kewangan sektor terbabit, serta pemegang saham mereka.