X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

2.3 ​​bilion penduduk dunia tidak ada kemudahan air, sabun

Kira-kira tiga daripada 10 atau 2.3 ​​bilion orang di dunia tidak mempunyai kemudahan air dan sabun di rumah untuk mencuci tangan.(Gambar hiasan). - Foto 123rf
A
A

NEW YORK - Kira-kira tiga daripada 10 atau 2.3 ​​bilion orang di dunia tidak mempunyai kemudahan air dan sabun di rumah untuk mencuci tangan, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat.

Lebih enam daripada 10 orang terutamanya di negara kurang maju tidak mempunyai akses kepada kebersihan asas untuk mencuci tangan, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik laporan UNICEF sempena Hari Mencuci Tangan Global (Global Handwashing Day) yang disambut pada 15 Oktober.

Dianggarkan dua daripada lima sekolah di seluruh dunia tidak mempunyai perkhidmatan kebersihan asas dengan air dan sabun, membabitkan 818 juta pelajar. Selain itu, 462 juta pelajar bersekolah tanpa mempunyai kemudahan itu. Di negara kurang maju, tujuh daripada 10 sekolah tidak mempunyai tempat untuk kanak-kanak mencuci tangan.

Menurut UNICEF lebih menyedihkan satu pertiga kemudahan rawatan kesihatan di dunia juga tidak mempunyai kemudahan asas untuk mencuci tangan.

Walaupun ada sedikit kemajuan dicapai sejak 2015, jika trend berkenaan masih berterusan kemungkinan kira-kira 1.9 bilion orang tidak akan dapat akses kepada kemudahan itu menjelang akhir dekad ini.

Kos untuk menyediakan kemudahan membersihkan tangan di semua kediaman di 46 negara kurang maju menjelang 2030 dianggarkan bernilai AS$11 bilion.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!