Suspek bunuh Nur Aisyah Aleya direman seminggu

Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Langkawi, pagi tadi.
A
A

LANGKAWI - Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah.

Perintah tahanan reman sehingga 14 Mac dikeluarkan Majistret Mohd Ridzwan Salleh terhadap suspek lelaki berusia 37 tahun yang tidak bekerja, manakala isterinya berusia 40 tahun merupakan seorang jururawat di Hospital Langkawi.

Kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Langkawi pada 9.00 pagi dengan berpakaian lokap.

Siasatan dilakukan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan suami isteri terbabit ditahan petang kelmarin di sebuah inap desa di Taman Melati, Ampang, Selangor susulan kehilangan Nur Aisyah Aleya selepas ibu kandungnya, Rosmaliah Samo, 32, membuat laporan polis pada 3 Mac lalu.

Mayat kanak-kanak malang itu kemudian ditemui di kawasan gaung di Gunung Raya pada 11.30 pagi semalam, selepas suspek lelaki menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia