Kertas Pandora: Kerajaan tidak halang pihak berkuasa ambil tindakan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menyekat sebarang tindakan daripada pihak berkuasa terhadap individu yang dikaitkan dengan laporan didedahkan dalam Kertas Pandora sekiranya dibuktikan bersalah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil sikap terbuka berhubung isu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak.

"Negara kita terbuka. Kalau didapati ada kes melibatkan sesiapa, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa. Mereka baca semua (laporan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baca berita yang dikeluarkan.

"Jadi berdasarkan itu, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kita tidak menyekat tindakan daripada pihak berkuasa kepada sesiapa pun. Tetapi mesti ada bukti. Jika tiada, tidak bolehlah (ambil tindakan)," katanya dalam sidang media selepas Lawatan Turun Padang Meninjau Penyelenggaraan Lif di Perumahan Awam (PA) Seri Perak, Sentul di sini pada Sabtu.

Kertas Pandora adalah laporan berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka seperti hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki oleh 14 firma di serata dunia.

Artikel Berkaitan: