Amal panduan penggunaan elektrik selamat sebelum balik kampung: TNB

TNB menasihatkan orang ramai mematikan dan menutup suis semua peralatan elektrik seperti peralatan pemanas air serta seterika sebelum meninggalkan kediaman.
TNB menasihatkan orang ramai mematikan dan menutup suis semua peralatan elektrik seperti peralatan pemanas air serta seterika sebelum meninggalkan kediaman.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau bercuti, supaya mengamalkan panduan penggunaan elektrik selamat dah bijak sebelum meninggalkan kediaman.

Menurut TNB, terdapat beberapa langkah yang harus dilakukan orang ramai sebelum meninggalkan rumah masing-masing susulan kebenaran merentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

“Pertamanya, tutup suis semua peralatan elektrik seperti peralatan pemanas air serta seterika.

“Kedua, lakukan pemeriksaan di luar rumah untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan elektrik seperti beberapa wayar elektrik terdedah kepada kelembapan dan tumbuhan yang boleh memutuskan talian elektrik berdekatan.

“Ketiga, mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari. Selain untuk menjimatkan penggunaan tenaga, ia juga boleh mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini,” menurut TNB dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah TNB, langkah keempat adalah membuka gulungan wayar sambungan tambahan atau ‘extension wire’ sepenuhnya untuk mengelak berlaku lebihan beban yang boleh mengakibatkan kebakaran disebabkan litar pintas.

“Kelima, menguji peranti arus baki (PAB) sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan menekan butang uji.

“Sila hubungi kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menggantikan PAB yang diluluskan oleh ST sekiranya butang uji ditekan dan bekalan elektrik tidak terputus dengan serta-merta,” kata TNB.

Artikel Berkaitan:

Menurut TNB, sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna dinasihatkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan.