Ringgit dijangka berdepan pembetulan teknikal berbanding dolar AS

Ringgit dijangka berdepan pembetulan teknikal untuk beberapa hari akan datang, didagangkan antara paras RM4.15 hingga RM4.16 berbanding dolar AS ketika minggu dagangan yang singkat. Gambar hiasan
Ringgit dijangka berdepan pembetulan teknikal untuk beberapa hari akan datang, didagangkan antara paras RM4.15 hingga RM4.16 berbanding dolar AS ketika minggu dagangan yang singkat. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka berdepan pembetulan teknikal untuk beberapa hari akan datang, didagangkan antara paras RM4.15 hingga RM4.16 berbanding dolar AS ketika minggu dagangan yang singkat, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit yang diniagakan lebih tinggi selama enam hari berturut-turut sebelum merosot pada Jumaat akan menyaksikan pembetulan yang selanjutnya berikutan pelabur mungkin ingin meraih sedikit keuntungan.

“Bagaimanapun, ringgit kelihatan agak konstruktif berikutan kenaikan harga komoditi iaitu minyak mentah Brent, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang akan membantu memperkukuh pemulihan ekonomi Malaysia.

“Sekatan perjalanan rentas negeri yang telah dilonggarkan turut memberi kebaikan kepada ekonomi negara berikutan industri berkaitan pelancongan seperti penerbangan, hotel, makanan dan minuman serta hiburan menerima manfaat daripada permintaan terpendam,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Research menerusi nota penyelidikannya berkata, ringgit menyaksikan pergerakan yang besar antara 4.1500 dan 4.1828 berbanding dolar AS pada minggu ini sebelum ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh sebulan kepada 4.1545 semasa ditutup pada Khamis, meningkat 0.7 peratus minggu ke minggu.

“Isyarat kemerosotan semula dolar AS serta pemangkin positif ringgit seperti kelonggaran kawalan pergerakan dan prospek harga komoditi yang meningkat, dijangka membantu mengekalkan pengukuhan mata wang tempatan pada minggu depan.

“Sehubungan itu, kami memberikan prospek ‘neutral’ kepada ‘lemah sedikit’ terhadap dolar AS/ringgit, dijangkakan antara 4.14 hingga 4.17 bagi minggu dagangan yang singkat ini. Trajektori aliran menurun mungkin ada, namun dikekang oleh keadaan berhati-hati menjelang pembentangan Bajet 2022 yang dijadualkan pada 29 Oktober ini,” tambahnya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS kecuali pada Jumaat berikutan peningkatan sentimen dalam negara dan sentimen hati-hati para pelabur yang mempengaruhi dolar AS susulan pelbagai data ekonomi Amerika Syarikat (AS) seperti Indeks Harga Pengguna, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dan data tuntutan pengangguran.

Artikel Berkaitan:

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat 190 mata asas kepada 4.1560/1590 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1750/1800 sebelum ini.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain pada Jumaat lalu.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8222/8257 daripada 4.8292/8350 sebelum ini dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.6341/6368 daripada 3.7320/7368 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0824/0849 daripada 3.0771/0810 sebelum ini dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7049/7091 daripada 5.6880/6948 sebelum ini. - Bernama