Gangguan bekalan air enam wilayah pulih sepenuhnya

Info grafik status terkini pemulihan air di lapan wilayah di Selangor.
Info grafik status terkini pemulihan air di lapan wilayah di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam daripada lapan wilayah yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Rabu telah pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi Sabtu.

Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor) menerusi perkongsian info grafik di Facebook memaklumkan, enam wilayah yang pulih sepenuhnya ialah di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam.

Tiga wilayah lagi yang turut mencapai 100 peratus pemulihan ialah wilayah Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.

Sementara itu, menerusi status dimuat naik di Facebook Air Selangor memberitahu, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 98 peratus setakat jam 6 pagi Sabtu.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Status pemulihan kawasan yang terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com," kata kenyataan itu.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, gangguan disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Artikel Berkaitan:

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.