RM20 juta untuk bantuan bencana

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri menyediakan dana khas bantuan bencana sebanyak RM20 juta sebagai kegunaan kecemasan ketika bencana.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, bantuan termasuk dalam Belanjawan 2019 itu meliputi bencana seperti banjir, kebakaran, ribut taufan dan pelbagai bencana.

"Kerajaan negeri juga menyalurkan sebanyak RM300,000 kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membuat perolehan keperluan-keperluan asas mangsa di pusat-pusat pemindahan.

"Selain itu, sebanyak RM1 juta telah diterima daripada kerajaan Pusat melalui JKM negeri bagi tujuan yang sama," katanya.

Osman yang juga Adun Kempas berkata demikian ketika menjawab secara bersekali soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) tentang kadar respons bantuan kecemasan bencana dan Hahasrin Hashim (BN-Panti) tentang inisiatif dan bantuan kecemasan banjir di negeri ini ketika persidangan Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi melicinkan lagi pengurusan bencana di peringkat daerah, kerajaan Pusat telah memperuntukkan RM100,000 bagi keperluan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk kegunaan semasa Monsun Timur Laut sehingga Mac tahun depan.

"Bantuan wang ihsan sebanyak RM500 turut dihulurkan kepada setiap keluarga mangsa sebagai tanda keperihatinan dan tanggungjawab kerajaan.

"Semenjak 2016 sehingga Oktober 2018 sebanyak RM2.3 juta telah diagihkan kepada mangsa bencana yang layak," katanya.

Ujarnya lagi, bagi menghadapi Monsun Timur Laut kali ini, pihak JKM telah menempatkan barang-barang keperluan bencana di 10 depoh simpanan keperluan bencana, lima mini depot dan 69 stor pangkalan hadapan.
Artikel Berkaitan:


"Selaras dengan itu, sebanyak 669 pusat pemindahan di negeri ini telah dikenalpasti yang boleh menempatkan sehingga 175,061 orang," katanya.