X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Arulselvaraj tabik kualiti Muhammad Marhan

Arulselvaraj ketika memberikan arahan taktikal kepada para pemain Speedy Tigers ketika perlawanan persahabatan menentang Perancis pada Siri Jelajah United Kingdom 2021. - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A

KETUA jurulatih skuad The Speedy Tigers, A Arulselvaraj kagum dengan kualiti dipamerkan kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil selepas beraksi cemerlang membantu Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perancis pada Siri Jelajah United Kingdom 2021, pada Jumaat.

Arulselvaraj berkata sebagai kapten pasukan, Muhammad Marhan tidak pernah jemu untuk menaikkan semangat rakan sepasukannya di atas padang selain berusaha mendapatkan gol penyamaan selepas ketinggalan kepada pasukan dari Eropah itu pada aksi di Pusat Hoki Wales.

Dalam perlawanan berkenaan, Perancis terlebih dahulu berada di depan menerusi gol padang pada minit ke-52 namun Muhammad Marhan muncul wira ‘Speedy Tigers’ selepas jaringan padangnya empat minit kemudian mengikat kedudukan 1-1 sehingga perlawanan tamat.

Arulselvaraj pada masa sama menyifatkan Perancis adalah pasukan yang berkualiti tinggi apabila membariskan pemain yang beraksi di Liga Belgium selain bakal turun beraksi di perlawanan pra-Piala Dunia, minggu hadapan.

"Tidak kira sama ada ia berstatus perlawanan persahabatan atau perlawanan ujian, standard kami adalah sama kerana ini adalah proses kami untuk terus membawa semangat mentaliti untuk menang dalam pasukan. Kami akan turun beraksi dalam setiap perlawanan dengan mental, emosi, dan fizikal yang bersedia untuk menang.

"Selepas perlawanan sebenar berakhir, kami mengadakan latihan ‘Shoot-Out’ dan kami memenangi latihan tersebut, jadi ia merupakan satu petanda yang baik dari sudut mentaliti dan corak pemikiran untuk mendapatkan kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Muhammad Marhan berkata, masih terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki pasukannya yang kini telah meletakkan satu tanda aras untuk menang dalam setiap perlawanan disertai mereka.

"Kami bermula dengan perlahan tetapi pada suku ketiga dan keempat kami meningkatkan tempo perlawanan. Apa yang akan kami cuba lakukan untuk perlawanan akan datang, kami akan terus memperbaiki kelemahan dan mencari kemenangan pada perlawanan tersebut,” katanya.

Skuad negara akan menyambung semula siri jelajah pada Isnin depan yang dijadualkan bertemu Perancis sekali lagi pada jam 8 malam waktu Malaysia.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!