UMNO nekad pertahan DUN Sungai Udang, Pantai Kundor

Ahmad Maslan (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan komputer riba yang disampaikan Ab Rauf (kanan) kepada ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman (dua dari kiri) yang merupakan wakil Pusat Daerah Mengundi BN Permatang pada Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada UMNO Parlimen Masjid Tanah pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Maslan (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan komputer riba yang disampaikan Ab Rauf (kanan) kepada ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman (dua dari kiri) yang merupakan wakil Pusat Daerah Mengundi BN Permatang pada Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada UMNO Parlimen Masjid Tanah pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - UMNO Melaka bertekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Pantai Kundor jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya menyerahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi menguruskan persiapan jentera bagi kedua-dua kawasan panas itu.

''Itu saya serah kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu untuk uruskan keadaan di dalam kawasan pentadbirannya. Saya yakin UMNO Tangga Batu juga telah bersedia untuk melengkapkan jenteranya bagi menghadapi PRN terutama di Sungai Udang dan Pantai Kundor.

''Pastinya kawasan itu yang dimenangi oleh UMNO akan dipertahankan kerusi tersebut bagi pihak UMNO,'' katanya pada sidang akhbar selepas program penyerahan komputer riba kepada UMNO cawangan Masjid Tanah, Kampung Pulau di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ditanya mengenai persediaan jentera bersama Pas, Ab Rauf menegaskan, beliau hanya menguruskan jentera UMNO dan tiada perkongsian dengan mana-mana parti lain setakat ini.

''Sebelum mengambil kira mana-mana parti (untuk bekerjasama), UMNO mesti perkukuhkan kedudukan kekuatan parti dahulu, baru kita lihat siapa datang berunding dengan kita. Pas, saya tidak campur urusan parti (lain),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober dan berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Artikel Berkaitan:

SPR akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu pada Isnin depan. - Bernama