Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa

Aliran trafik di Plaza Tol Gombak, Selangor berjalan lancar pada petang Jumaat. Gambar kecil: Azman Shari'at
Aliran trafik di Plaza Tol Gombak, Selangor berjalan lancar pada petang Jumaat. Gambar kecil: Azman Shari'at
A
A
A

GOMBAK- Keadaan aliran trafik menuju keluar dari ibu kota di Plaza Tol Gombak di sini bergerak lancar dan terkawal serta tiada aliran trafik luar biasa sehingga lewat petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, hasil pemantauan pasukannya mendapati tidak banyak pergerakan kenderaan dari Lembah Klang.

Beliau berkata, ia mungkin disebabkan orang ramai merancang pergerakan perjalanan mereka.

"Jika dilihat trend sebelum ini, pergerakan sepatutnya sudah banyak pada waktu ini.

Tapi sehingga jam 6.30 petang, keadaan trafik masih normal, mungkin mereka telah mengubah jadual perjalanan mereka.

"Laluan-laluan sebelah dalam juga kita tempatkan pasukan pemantau seperti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang menjadi salah satu laluan utama untuk pulang ke utara.

Sehingga sekarang, aliran trafik didapati lancar.

"JSPT Selangor turut membuat pemantauan dan kawalan di semua laluan keluar di Lembah Klang," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan di Plaza Tol Gombak di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, pihaknya sebelum ini menjangkakan terdapat peningkatan jumlah kenderaan di Selangor pada Jumaat sempena cuti hujung minggu dan bersambung dengan cuti umum pada Selasa depan.

Susulan itu, katanya, pemantauan elemen-elemen JSPT dibuat di seluruh Selangor khususnya di laluan utama di lebuh raya keluar dari Lembah Klang.

"Kita juga menubuhkan pasukan pemantau yang akan membuat pemantauan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan mana-mana hentian untuk kita membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita berharap masing-masing menjaga SOP untuk kita mengelakkan daripada Covid-19 merebak dalam keadaan kita bergembira.

"Saya ingatkan kepada mereka yang memandu balik kampung supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya agar keselamatan diri masing-masing terjamin," ujar beliau.