Malaysia tingkat usaha ke arah peralihan ekonomi rendah karbon

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berada di landasan penting dalam memerangi krisis iklim dan biodiversiti berikutan sedang meningkatkan usaha dan komitmen untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan terhadap iklim.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini memerlukan transformasi sistem ekonomi dan kewangan negara yang lengkap dan secara berperingkat selain sektor berkaitan makanan, air dan tenaga serta komoditi utama dengan cara yang mampan, inklusif, adil dan saksama.

Bagi mengurangkan lagi pelepasan gas rumah hijau (GHG) katanya, kerajaan menekankan kepada pelaburan hijau, dilengkapi dengan kemajuan sejak pemeteraian Perjanjian Paris, iaitu meningkatkan Sumbangan Ditetapkan di peringkat Nasional (NDC) tanpa syarat untuk mengurangkan pelepasan GHG kepada 45 peratus daripada 35 peratus sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata demikian pada persidangan maya bertajuk 'Road to Glasgow and Kunming: Combating Climate Change and Biodiversity Loss in Malaysia' anjuran WWF-Malaysia dan Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia pada Jumaat.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia telah menyertai Gabungan Menteri Kewangan untuk Tindakan Iklim (CFMCA) dan mendapat manfaat daripada pelbagai aliran kerja yang dilakukan oleh gabungan tersebut.

“Ketiga, kita komited kepada Deklarasi Helsinki dalam menggalakkan tindakan iklim nasional melalui dasar fiskal dan penggunaan kewangan awam, yang telah disokong oleh CFMCA,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul memberitahu, kementeriannya juga telah menyelaraskan inisiatif agenda hijau dalam Bajet 2021 dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan akan meneruskan dengan pelaksanaan dalam Bajet 2022 yang akan datang yang akan memberi tumpuan kepada pemulihan, daya tahan dan pembaharuan.

Selain itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selama lima tahun turut merangkumi inisiatif yang akan membawa kepada ekonomi rendah karbon, berdaya tahan terhadap iklim berdasarkan pembangunan bersih, hijau dan berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Antara langkah utama termasuklah memberi tumpuan kepada terus membangunkan ekonomi kitaran Malaysia, memberi penekanan yang lebih tinggi kepada pertumbuhan hijau dan peralihan kepada membina bandar mampan.

Kerajaan juga akan terus berusaha mengenai kadar pelepasan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hidrokarbon selain mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan negara dilitupi hutan.

“RMK12 telah menggariskan landasan Malaysia kepada pelepasan sifar bersih. Ini termasuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050 dan menghentikan penjanaan tenaga daripada arang batu.

“Semua ini memberi petunjuk dasar yang kukuh kepada komuniti perniagaan mengenai pendekatan negara dalam memerangi perubahan iklim,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, dalam usaha untuk memastikan peralihan yang adil dan cepat kepada ekonomi rendah karbon, kerjasama dengan pelbagai sektor telah mencatatkan pencapaian yang termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).

“Melalui platform ini, Bank Pusat Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan industri mengambil langkah aktif dalam memastikan ketelusan risiko kewangan berkaitan iklim,” kata Tengku Zafrul. - Bernama