X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

'Sudah cukup tempoh saya berkorban'

Selepas 35 tahun menjadi tumpuan pelanggan buku dari dalam dan luar negara, satu-satunya kedai buku di Pasar Seni di sini akan menamatkan operasinya pada Ahad ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 35 tahun menjadi tumpuan pelanggan buku dari dalam dan luar negara, satu-satunya kedai buku di Pasar Seni di sini akan menamatkan operasinya pada Ahad ini.

Selain pemiliknya yang dikenali sebagai Vellu ingin bersara, kedai buku itu terpaksa ditutup kerana pandemik Covid-19 selain akibat perubahan permintaan pelanggan terhadap buku fiksyen.

Peniaga berusia 75 tahun itu berkata, sudah cukup tempoh untuk dia berkorban masa dan tenaga demi menjaga sebuah kedai buku dalam keadaan usianya semakin senja dengan kudrat yang terhad.

Menurut Vellu, keputusan untuk menutup premis itu juga ekoran tiada lagi penyambung bagi meneruskan legasi perniagaannya itu selepas memulakan operasinya di Pasar Seni pada tahun 1986.

"Ahad ini sudah tutup, selepas ini tiada lagi buku dalam kedai ini, semua akan kosong tapi saya tidak berpindah ke mana-mana cuma akan kosongkan kedai ini sahaja.

"Sudah lebih 30 tahun saya di CM (Pasar Seni), tidak rasa sedih atau apa-apa lagi, saya hanya mahu berehat walaupun masih memiliki 8,000 hingga 10,000 buah buku dalam simpanan," katanya ditemui pada Jumaat.

Vellu (kanan) menyatakan sudah cukup tempoh untuk dia berkorban masa dan tenaga demi menjaga sebuah kedai buku.
Vellu (kanan) menyatakan sudah cukup tempoh untuk dia berkorban masa dan tenaga demi menjaga sebuah kedai buku.

Velu dan seorang ahli keluarganya mengurus kedai buku itu sejak 1986 dengan menyediakan tempat untuk pelancong dalam dan luar negara membaca pelbagai jenis buku termasuk fiksyen dari seluruh dunia.

Pelanggan Vellu juga dapat membeli buku terpakai dan baharu pada harga rendah malah beliau turut membayar buku yang masih elok sekiranya pelanggannya mahu memulangkannya semula.

Sementara itu, ramai pelanggan menyatakan kesedihan mereka kerana kedai buku itu akan ditutup.

Untuk rekod, Pasar Seni atau Central Market pada asalnya sebuah pasar besar atau pasar basah, dibina pada akhir kurun ke-18 oleh Kapitan Cina, Yap Ah Loy

Ketika itu, ia menjadi pusat tumpuan perniagaan ikan, daging dan sayur-sayuran serta keperluan harian lain dalam kalangan pelombong bijih timah sekitar Lembah Klang

Bagaimanapun, pada 1936, jurutera bandar, R H Seed memperluaskan lagi bangunan pasar besar dengan menampilkan dekorasi seni atau art deco.

Berikutan itu, pada 15 April 1986, pasar besar itu secara rasminya dikenali sebagai Pasar Seni dan tidak lama kemudian Vellu turut memulakan operasi kedai bukunya sebelum bakal ditutup Ahad ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!