Pembangkang sokong pindaan Perlembagaan Persekutuan: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUCHING - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata parti politik blok pembangkang di Dewan Rakyat secara prinsip bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan agar selaras dengan peruntukan yang relevan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, beberapa perjumpaan bersama parti politik dari blok pembangkang telah diadakan sebelum ini dan mereka menyatakan sokongan kepada cadangan pindaan itu.

“Saya sudah mengadakan perjumpaan dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan sokongan selain mengadakan perjumpaan berasingan masing-masing bersama Warisan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini,” katanya pada program ramah mesra bersama pengamal media Sarawak di sini, pada Jumaat.

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengenainya dan bercadang membawa pindaan itu untuk bacaan kali pertama pada 25 Oktober, bacaan kali kedua pada 28 Oktober dan memuktamadkan ia pada hari berkenaan.

Sementara itu merujuk kepada permintaan Sarawak mengenai pindaan definisi "peribumi” (native) di bawah Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan, Wan Junaidi berkata menerusi pindaan itu nanti, Sarawak akan mempunyai kuasa mengiktiraf siapa kaum asal negeri.

“Oleh kerana lebih 30 peratus rakyat Sarawak berkahwin campur seperti Melayu kahwin Cina, Bidayuh kahwin Cina dan Iban kahwin ‘orang putih’...jika ikut Perlembagaan Persekutuan, anak mereka bukan lagi bergelar bumiputera.

“Justeru, kita mahu pindaan dibuat supaya perkahwinan orang Sarawak dengan bukan bumiputera, apabila mempunyai anak kelak, mereka akan tetap bergelar bumiputera,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: