IPD Kemaman rekod 1,194 tangkapan kes dadah

Mohd Haki menyampaikan maklumat kepada pasukan Ops Jihad Dadah 2.0 peringkat daerah Kemaman pada majlis di pekarangan tempat letak kereta IPD kemaman pada Jumaat. -Foto IPD Kemaman
Mohd Haki menyampaikan maklumat kepada pasukan Ops Jihad Dadah 2.0 peringkat daerah Kemaman pada majlis di pekarangan tempat letak kereta IPD kemaman pada Jumaat. -Foto IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 1,064 kes melibatkan 1,194 tangkapan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah direkodkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya merekodkan sebanyak 45 kes rampasan termasuk kes yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

" Kami akan menggempur semua lokasi panas yang sudah dikenal pasti menjadi tempat penagih di sini melepas gian menghisap dadah dan lokasi tokan dadah menjalankan urus niaga barang terlarang ini.

"Dalam usaha melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah ini, kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat amat penting supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau sebelum itu melancarkan Jihad Dadah 2.0 peringkat daerah Kemaman di pekarangan tempat letak kereta IPD kemaman di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah.

Sementara itu, Hanyan berkata, pelancaran Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan serentak di lapan daerah negeri ini oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Menurutnya, operasi selama sebulan itu dijadualkan berakhir pada 13 November depan dalam usaha menjadikan Terengganu, khususnya daerah Kemaman sebagai sifar kes dadah.

Artikel Berkaitan: