Melaka, Putrajaya, KL dan Selangor beralih ke Fasa 4 Isnin ini

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk tujuh negeri dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa pada 18 Oktober depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah akan beralih dari Fasa 2 kepada Fasa 3.

Beliau berkata, Melaka serta kawasan Lembah Klang iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor turut beralih dari Fasa 3 kepada Fasa 4.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

“Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri yang dinyatakan, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

“SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Presiden Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berkata, operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula Sabtu.

“Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN bermula esok,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara juga berkuat kuasa pada Isnin.

“Tempoh kuarantin tujuh hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap.

“Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin,” jelasnya.

Tambah beliau, pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak rapat juga berkuat kuasa pada hari sama.

“Tempoh kuarantin tujuh hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin, manakala tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiadaatau tidak lengkap divaksin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pembukaan bagi perkhidmatan pusat siber dan kafe siber turut dipersetujui dengan penyelarasan 80 peratus kapasiti bagi Fasa 3 dan 100 peratus kapasiti bagi Fasa 4 berkuat kuasa pada Ahad.

Menurutnya, SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 27 September lepas diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula pada 11 Oktober lalu.

“Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021.

Di samping itu, Ismail Sabri berkata, Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri-negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuat kuasa pada 18 Oktober dengan syarat-syarat tertentu.

“Antaranya ialah melaksanakan ujian saringan Covid-19 melalui kaedah ujian air liur atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta kapasiti 50 peratus mengikut ruang,” jelas beliau.