20 tahun sabar tanggung penyakit

Kamaruddin ketika menerima lawatan Wan Yusrizal (kanan).
Kamaruddin ketika menerima lawatan Wan Yusrizal (kanan).
A
A
A

KUALA NERUS – Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah nasib bapa tiga anak, Kamaruddin Sidek yang disahkan menghidap pelbagai penyakit malah anak perempuannya yang berusia 14 tahun turut mengalami masalah jantung.

Menurut Kamaruddin, anak perempuannya, Nur Kamalia Afifah mengalami masalah jantung merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik.

"Saya ditimpa ujian ALLAH dengan berhadapan pelbagai penyakit seperti gout, saraf dan juga jantung. Selama 20 tahun saya bersabar dengan ujian yang dihadapi terutamanya penyakit gout.

"Dugaan bertambah apabila anak saya turut menghadapi masalah jantung, dia baharu berusia 14 tahun," katanya ketika menerima kunjungan Pengawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'I.

Kamaruddin berkata, mereka bergantung sepenuhnya dengan bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan untuk menampung perbelanjaan harian.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus kerana sudi datang ke rumah sekali gus sokongan ini dapat menguatkan semula semangat kami sekeluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan Kamaruddin boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus diketuai Wan Yusrizal melawat tiga keluarga yang ada dalam kalangan ahli keluarga itu menghidap penyakit kronik, di Kampung Baru dan Hulu Takir.

Sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan disalurkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus kepada setiap pesakit yang dilawati di dua buah kampung berkenaan.