Peluang pembela hak asasi manusia, kerajaan kukuh kerjasama

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kejayaan Malaysia menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia untuk penggal 2022-2024 dilihat sebagai peluang kepada semua pembela hak asasi manusia untuk mengukuhkan libat urus dan bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan janji dan komitmen sukarelanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan berkata, dengan pemilihan tersebut, kerajaan diamanahkan untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam arena hak asasi manusia antarabangsa dan memenuhi kewajipan ke arah memastikan hak berkenaan dapat dinikmati sepenuhnya di negara ini.

“Dengan ancaman kepada hak asasi manusia di seluruh dunia, antaranya yang diakibatkan oleh pandemik, krisis iklim atau konflik yang berterusan, adalah penting untuk Malaysia sebagai ahli Majlis untuk secara serius menangani isu-isu ini melalui kaca mata hak asasi manusia dan menjalankan usaha sama dengan ahli-ahli dan juga Prosedur Khas Majlis.

“Majlis Hak Asasi Manusia bermatlamat untuk mendapatkan sokongan dan komitmen negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil langkah untuk mengatasi pencabulan hak asasi manusia dan mencari penyelesaian yang lebih mampan,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Malaysia berjaya meraih 183 undi untuk mengisi satu daripada 18 kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024.

Menurut kenyataan itu, Suhakam turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia atas kejayaan tersebut.

“Ini merupakan penggal ketiga untuk Malaysia sejak sidang pertama Majlis tersebut pada Jun 2006,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: