Bot hanyut, Maritim selamatkan dua nelayan

Nelayan dan bot fiber mereka ditemui di kedudukan 2.4 batu nautika muara Kuala Kangkung, Kuala Kedah dalam keadaan terapung pada Jumaat. - Foto Maritim Malaysia
Nelayan dan bot fiber mereka ditemui di kedudukan 2.4 batu nautika muara Kuala Kangkung, Kuala Kedah dalam keadaan terapung pada Jumaat. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA KEDAH - Dua nelayan tempatan ditemui dalam keadaan keletihan pada Jumaat selepas bot fiber dinaikinya mengalami kerosakan enjin dan hanyut sejauh 6.5 batu nautika di Kuala Kangkung dekat sini sejak Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dua lelaki tersebut diselamatkan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada jam 12.11 tengah hari Jumaat.

Beliau berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan telefon daripada Balai Polis Kuala Kedah sekitar jam 9.30 pagi memaklumkan mengenai kejadian bot fiber bernombor pendaftaran KHS 6422 yang dikhuatiri hanyut bersama dua nelayan.

Menurutnya, isteri salah seorang mangsa, Nur Shuhada Abu Hassan, 24, bertindak membuat laporan polis setelah tidak dapat menghubungi suaminya sejak Khamis.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi seterusnya mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 10.45 pagi tadi dengan mengatur gerak Bot ronda Perkasa 1226 ke lokasi mangsa dipercayai hanyut dan telah menemukan bot fiber berkenaan di kedudukan 2.4 batu nautika muara Kuala Kangkung dalam keadaan terapung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zawawi berkata, mangsa, Muhammad Hairi Amirul Izham, 23, yang merupakan tekong bersama Syed Syah Anuar Syed Ad Rahman, 39, serta bot fiber dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke rumah bersama waris.

Beliau turut mengingatkan kepada mereka yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Artikel Berkaitan: