Kerajaan digesa wajibkan semua MP, ADUN isytihar semua aset

Akhbar
Akhbar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewajibkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengisytiharkan semua aset mereka sama ada di dalam atau luar pesisir.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, saranan tersebut adalah bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang aset atau harta baharu dimiliki oleh ahli Parlimen terutama mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti politik.

Beliau berkata, kerajaan harus bertindak tanpa rasa takut dan pilih kasih untuk menyiasat nama-nama disebutkan dalam Kertas Pandora untuk mengetahui kemungkinan kesalahan dan rasuah yang berlaku.

“Salah satu cara untuk mengatasi aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram yang disimpan dalam akaun luar pesisir adalah dengan memperkenalkan pusat pendaftaran untuk pemilikan bermanfaat syarikat berdaftar di Malaysia dan syarikat yang menyimpan dana di Labuan.

“Pemilik syarikat ini adalah orang yang benar-benar memiliki, menikmati dan mengawal syarikat itu.

“Ini memainkan peranan penting mengenai ketelusan pemilik sebenar sebuah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.

Antara individu dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akhbar berkata, ramai penjenayah kewangan menggunakan kaedah ‘shell company’ untuk menyembunyikan wang dan maklumat hak milik melalui penama-penama lain bagi membolehkan penjenayah korup mencuci dan mengelakkan kekayaan haram mereka.

“Penggunaan pengarah dan pemegang saham penama akan membantu melindungi pemilik syarikat sebenar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akhbar berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga boleh mengambil tindakan meneliti dan melihat apakah pembayar cukai konsisten dengan maklumat diterima melalui Common Reporting Standards (CRS).

“Objektif CRS yang perkenalkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) adalah untuk membantu masyarakat antarabangsa memerangi pengelakan cukai,” kata beliau.