Tentera Myanmar gesa gencatan senjata semua pihak

Jeneral Kanan Min Aung Hlaing - Foto Agensi
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing - Foto Agensi
A
A
A

YANGON - Tentera Myanmar menyeru pihak yang telah memeterai Perjanjian Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCA) untuk mengukuhkan lagi perjanjian itu dan pihak yang belum menandatanganinya untuk turut serta dalam perjanjian itu, kata pemimpin tentera, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada Jumaat.

Min Aung Hlaing, yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pusat Perpaduan dan Keamanan Nasional menyampaikan perutusan itu pada ulang tahun keenam pemeteraian NCA, lapor Xinhua.

Proses itu dibuat untuk memperkukuhkan lagi perdamaian dengan para penandatangan NCA.

Usaha sedang dilakukan bagi mengurangkan serangan tembakan dan mencapai perjanjian dua hala dengan pihak yang belum menandatangani NCA untuk menyertai perjanjian berkenaan, katanya.

Dalam perutusan itu, pertubuhan bersenjata etnik digesa untuk setia dan teguh mematuhi ketetapan NCA agar dapat menyumbang ke arah pilihan raya umum demokratik yang bebas dan adil seperti yang dirancang.

Sementara itu, tentera telah melanjutkan penangguhan operasi ketenteraan selama lima bulan lagi dari 1 Oktober hingga 28 Februari tahun depan, bagi membolehkan usaha yang berkesan untuk memerangi Covid-19 di seluruh negara, dan meningkatkan proses perdamaian di negara itu.

Setakat ini, 10 kumpulan bersenjata etnik telah menandatangani NCA dengan kerajaan sejak ia dimulakan pada Oktober 2015.

Myanmar mengisytiharkan keadaan darurat setelah Presiden U Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, bersama dengan pegawai lain dari Liga Demokratik Kerajaan (NLD), ditahan oleh tentera pada 1 Februari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pemerintahan negara kemudiannya diambil alih Min Aung Hlaing selepas perisytiharan darurat tersebut. - Bernama