Rugi RM25,000 terpedaya sindiket tawaran kerja e-dagang

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam terpaksa menanggung kerugian hampir RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja menerusi platform e-dagang.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu selepas mangsa berusia 40-an yang ketika itu berada di tempat kerjanya menerima satu aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Individu tersebut memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat yang bekerjasama dengan sebuah syarikat jualan dalam talian terkenal bertujuan membantu peniaga kecil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, individu tersebut meminta maklumat peribadi dan nombor akaun bank milik mangsa sebelum menjanjikan pulangan lumayan yang bakal diterima lelaki tersebut.

Beliau berkata, teruja dengan janji-janji diberikan, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju bekerja dan hanya mengikut arahan diberikan suspek sehingga sanggup mendedahkan maklumat peribadinya termasuk nombor akaun bank.

"Sejurus menerima maklumat peribadi mangsa termasuk nombor akaun banknya, suspek telah menyuruh mangsa membeli dengan menambah barang di troli platform e-dagang tersebut. Selepas berbuat demikian, mangsa diminta menghantar gambar di dalam troli tersebut kepada individu berkenaan.

"Suspek kemudian menyuruh mangsa membuat transaksi sejumlah amaun ke dalam nombor akaun diberikan. Beberapa jam kemudian, mangsa mendapati terdapat sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dipercayai keuntungan yang dijanjikan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

M Zambri berkata, teruja melihat wang keuntungan yang terus dimasukkan ke dalam akaunnya dalam masa singkat, mangsa mengikut arahan seterusnya dengan menambah lagi barang di troli yang sama, sebelum diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa berlengah, mangsa terus mengikut arahan diberikan. Tidak sampai tempoh sejam selepas berbuat demikian, mangsa sekali lagi mendapati terdapat sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dipercayai keuntungan dijanjikan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, mangsa yang ghairah dengan pulangan diberikan tidak berfikir panjang selepas dua kali diminta memasukkan sejumlah wang sehingga hampir RM15,000.

"Tetapi kali ini, mangsa tidak lagi menerima sebarang wang keuntungan dijanjikan," katanya.

M Zambri berkata, menyedari sudah ditipu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

M Zambri berkata, siasatan awal mendapati modus operandi digunakan sindiket penipuan ini ialah dengan mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook kepada mangsa.

Katanya, individu yang berminat akan menekan pautan diberikan menggunakan logo platform e-dagang tersebut.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja tersebut kemudian dijanjikan komisen sebanyak lapan peratus selain mendapat pulangan tunai," katanya.

Beliau berkata, mangsa seterusnya diarahkan untuk melakukan tugasan mudah dengan memasukkan platform urus niaga jual beli ke dalam troli atau kad pembelian diberikan sebelum menghantar tangkap layar sebagai bukti kerja-kerja sudah dibuat seperti diarahkan suspek.

"Ada juga mangsa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang ke akaun bank dikawal sindiket terbabit.

"Terlalu teruja dengan janji-janji ditawarkan, mangsa tanpa berfikir panjang sanggup membuat bayaran produk berkenaan meskipun tiada kena-mengena dengannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas melakukan segala arahan tugasan diberi termasuk ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan sehingga mencecah jumlah ribuan ringgit, mangsa tidak lagi menerima semua bayaran dijanjikan sebelum ini.

"Difahamkan, pembayaran barangan dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform berkenaan dan sindiket menggunakan keldai akaun bagi urus niaga perbankan berkenaan," katanya.