PKS, golongan rentan akan dibantu: MPN

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengadakan satu mesyuarat yang memfokuskan untuk membantu kumpulan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) serta golongan rentan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, MPN telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan makanan kepada golongan rentan.

“Satu analisis lebih terpencil perlu dibuat untuk memastikan industri yang terkesan berdasarkan statistik dikenalpasti bagi penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“MPN turut bersetuju membentuk sebuah pasukan petugas khas melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain berkaitan isu PKS.

“Agihan makanan kepada golongan rentan juga perlu lebih aktif dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam menghubungkan kerjasama ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mesyuarat turut dihadiri oleh beberapa ahli parti pembangkang antaranya Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen yang mewakili Democratic Action Party (DAP), Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mewakili Parti United Progressive Kinabalu Organization (UPKO).

Muhyiddin percaya pasukan MPN dapat memberikan sumbangan yang lebih holistik dan merangka strategi serta usaha memulihkan kehidupan rakyat yang terjejas.

“Mesyuarat dimulakan dengan mendapatkan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai perkembangan terkini indikator Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai, khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penurunan ketara penggunaan katil wad ICU (unit rawatan rapi) dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang mencapai 95 peratus.

“Mesyuarat juga dimaklumkan kerajaan sedang menimbang untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ia satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa dan peruncitan

Beliau berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat.