Sila log masuk terlebih dahulu.

Pandora Papers: Jawatankuasa penyiasat perlu dibentuk

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu jawatankuasa penyiasat perlu dibentuk bagi menyiasat pendedahan Pandora Papers sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim berkata, cadangan jawatankuasa penyiasat itu melibatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM), Pejabat Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM),Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau memberitahu, ada menghadiri mesyuarat pertama JKMR SPRM di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang juga Pengerusi JKMR pada Jumaat.

"Saya mencadangkan SPRM menyiasat pendedahan Pandora Papers yang menyatakan antara tahun 2004 hingga 2014 terdapat seramai 1,500 rakyat Malaysia menyimpan harta mereka dalam bentuk wang, saham dan modal di pusat-pusat pesisir luar (offshore centre) seperti Singapura dan British Virgin Islands.

"Perbuatan terbabit dianggap sebagai 'tax haven' yang tidak dikenakan cukai yang kesemuanya harta rakyat Malaysia itu dapat lari daripada radar sistem percukaian Malaysia, ditafsirkan sebanyak RM1.8 trillion. Satu jumlah yang amat besar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Justeru, beliau mencadangkan SPRM dan jawatankuasa penyiasat yang akan ditubuhkan mendapatkan kerjasama kerajaan Singapura dan lain-lain sebagaimana pernah dilakukan kerajaan untuk mendapatkan semula wang sebanyak lebih RM14 bilion ringgit yang diselewengkan dalam skandal 1MDB.

"Banyak wang negara yang merupakan harta rakyat dapat dikembalikan ke Perbendaharaan negara jika pendedahan Pandora Papers disiasat ke akar umbi dan didakwa di mahkamah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Wajibkan MP, ADUN isytihar harta di darat, luar persisir

Artikel Berkaitan: