Thailand harap duta khas ASEAN lawat Myanmar secepat mungkin

Thailand berharap Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof (gambar) dapat melawat Myanmar secepat mungkin dan meneruskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN. - Foto fail Bernama
Thailand berharap Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof (gambar) dapat melawat Myanmar secepat mungkin dan meneruskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN. - Foto fail Bernama
A
A
A

BANGKOK - Thailand berharap Duta Khas ASEAN dapat melawat Myanmar secepat mungkin dan meneruskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata, Thailand berharap ketika berada di sana Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof dibenarkan bertemu dengan pihak-pihak yang berkaitan.

"Ini akan menjadi langkah pertama yang penting dalam proses membina bertujuan untuk mendorong dialog antara pihak-pihak berkepentingan di Myanmar seperti yang digariskan dalam Konsensus Lima Perkara Pemimpin ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

Tanee diminta mengulas perkembangan terkini mengenai lawatan Duta Khas ASEAN ke Myanmar.

Menteri-menteri Luar ASEAN dijadual mengadakan mesyuarat tergempar secara maya lewat petang ini dan kemungkinan besar bakal membincangkan isu-isu berkaitan Myanmar, antara lain termasuk mengenai penyertaan Jeneral Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt.

Menurut laporan Kyodo News yang memetik sumber, Singapura, Indonesia dan Malaysia mengusulkan agar Min Aung Hlaing yang memimpin rampasan kuasa pada 1 Februari dengan menggulingkan kerajaan awam Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi, tidak dibenarkan menyertai sidang kemuncak itu jika tiada kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara.

Sementara itu, Tanee berkata,Thailand mengulangi harapannya untuk melihat keamanan dan keadaan kembali pulih seperti biasa di Myanmar dan menyeru agar menghentikan keganasan dan tahanan dibebaskan.

"Kami akan terus mendesak semua pihak di Myanmar untuk adakan dialog melalui saluran yang konstruktif untuk mencapai resolusi politik secara aman dan berusaha bersama menuju ke arah demokrasi demi kepentingan rakyat Myanmar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tanee berkata, Thailand percaya Myanmar turut mementingkan keluarga ASEAN dan mahu menyaksikan ASEAN yang berjaya.

Thailand juga yakin masyarakat antarabangsa perlu terus mengutamakan pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

"Sebagai rakan baik kepada rakyat Myanmar, Thailand akan terus lakukan yang terbaik untuk membantu.

"Kami menggesa semua pihak di Myanmar untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat dan berkesan terutama berkaitan kesihatan awam untuk mereka yang memerlukan,” katanya. - Bernama