Restoran nasi kandar mula 'diserbu' orang ramai

Pengunjung Restoran Mohamed Raffee beratur di luar kedai berikutan perkhidmatan dine-in masih belum dibenarkan di premis berkenaan.
Pengunjung Restoran Mohamed Raffee beratur di luar kedai berikutan perkhidmatan dine-in masih belum dibenarkan di premis berkenaan.
A
A
A

GEORGETOWN - Kebenaran rentas negeri sejak Isnin lalu menyaksikan restoran di Pulau Pinang menjadi tumpuan ramai termasuk dalam kalangan pelancong dari luar yang menghabiskan cuti hujung minggu di sini.

Tinjauan di bandar Georgetown pada Jumaat mendapati, restoran antara yang menjadi tumpuan pengunjung terutama untuk menikmati hidangan nasi kandar yang popular di Pulau Pinang.

Antara restoran nasi kandar yang menjadi tumpuan ialah Nasi Kandar Mohamed Rafee di Pulau Tikus dan Nasi Kandar Deen Maju di Jalan Gudwara.

Pemilik Restoran Nasi Kandar Deen Maju, Tajudeen S Jamaldeen, 51, berkata, restorannya 'diserbu' peminat nasi kandar sejak Khamis selepas dine-in dibenarkan.

"Saya membenarkan dine-in bermula Khamis. Sebelum ini semuanya perlu bungkus dan bawa balik. Disebabkan itu, pelanggan sangat ramai kerana mereka lebih suka makan di kedai.

"Mereka seperti 'balas dendam' apabila terlalu ramai yang serbu Deen Maju. Apa-apa pun saya syukur kerana ramai yang masih meminati Deen Maju," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), Tajudeen berkata, dia bagaimanapun mengehadkan hanya 40 meja sahaja untuk dine-in berbanding 80 meja sebelum ini.

"Walaupun dibenarkan dine-in, saya tetap akan memastikan pelanggan saya mematuhi SOP iaitu penjarakan fizikal. Setiap meja hanya boleh ditempatkan dalam kalangan keluarga atau kenalan yang sama sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, saya menambah tiga lagi pekerja iaitu daripada 16 kepada 19 orang. Saya juga mendapatkan khidmat dua orang Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menjaga lalu lintas dan juga SOP ketika pelanggan sedang beratur," katanya.

Tajudeen berkata, dia turut membuat persiapan bagi menerima pertambahan pelanggan yang dijangka bermula Jumaat sehingga Selasa depan.

"Semua barang basah termasuk ayam, beras dan sayur saya gandakan. Contohnya sebelum ini saya hanya menggunakan 100 kilogram (kg) beras. Untuk Jumaat sehingga Selasa, saya gandakan menjadi 200 kg beras.

"Sama juga seperti ayam dan sayur, semuanya disediakan dua kali ganda dari hari biasa," katanya.

Berlainan pula dengan Restoran Mohamed Raffee yang mana perkhidmatan dine-in masih belum dibenarkan di premis berkenaan.

Pemiliknya, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe, 38, berkata, pekerja yang tidak mencukupi selain kekangan keluasan premis adalah faktor utama pihaknya tidak membenarkan dine-in.

Dia lebih rela tidak menyediakan dine-in berbanding dikenakan tindakan pihak berkuasa kerana tidak mematuhi SOP.

"Walaupun dine-in telah dibenarkan, namun saya tetap tidak melaksanakannya kerana tidak cukup pekerja. Saya hanya ada 11 pekerja kerana pekerja asing yang saya gajikan terkandas di negara mereka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, kedai saya tidak luas. Saya bimbang jika diperiksa dan ada yang tidak mematuhi SOP, premis perlu ditutup, itu lagi merugikan.

"Dalam persiapan untuk menerima lebih ramai pelanggan pada hari minggu ini, dari segi lauk pauk, memang ada pertambahan sebanyak 20 peratus," katanya.

Bagi peniaga mi goreng, Lam Tze Ming, 50-an pula, dia mula tidak menang tangan sejak Selasa lalu.

"Memang ramai pelanggan yang datang dan kebanyakannya dari luar negeri. Saya menjangkakan akan lebih ramai lagi bermula petang Jumaat sehingga minggu depan.

"Saya sudah buat persiapan untuk menerima pelanggan dengan menggandakan semua bahan masakan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pusat bandar mendapati kenderaan mula sesak di jalan utama serta kawasan tumpuan seperti Jalan Penang, menara Komtar dan Jalan Scotland iaitu menghala ke Batu Feringghi.

Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri ini pada hujung minggu susulan kebenaran rentas negeri.

Pada Rabu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bersiap sedia menghadapi kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung pada hujung minggu ini apabila membekukan cuti seramai 2,342 kakitangannya.

Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang berkata, jumlah itu adalah 77.6 peratus daripada 3,109 iaitu jumlah keseluruhan kakitangan.

Beliau berkata, tempoh pembekuan cuti rehat bermula Jumaat sehingga Selasa ini.

Selain itu, polis Pulau Pinang turut menambah jumlah pasukan pematuhan SOP daripada 114 ke 150 melibatkan 2,000 anggota dan pegawai bagi memantau pengunjung ke Pulau Pinang.