800 pelajar mendaftar di UUM

Haim Hilman ( empat kanan) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Hendrik Lamsali (tiga kanan) beramah mesra bersama pelajar baharu yang mendaftar pada sesi pagi hari pertama sesi akademik 2021/2022.
Haim Hilman ( empat kanan) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Hendrik Lamsali (tiga kanan) beramah mesra bersama pelajar baharu yang mendaftar pada sesi pagi hari pertama sesi akademik 2021/2022.
A
A
A

KUBANG PASU - Seramai 800 pelajar baharu dan lama Universiti Utara Malaysia (UUM) mendaftarkan diri pada hari pertama kemasukan sesi akademik 2021/2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sesi kemasukan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Ahad membabitkan seramai 3,041 pelajar.

Katanya, sebagai langkah keselamatan semua pelajar digalakkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

"Ketika sampai di UUM, kita akan buat ujian pengesanan sekali lagi dan sekiranya pelajar tidak bergejala mereka dibenarkan bergerak ke Inapan Siswa (Inasis)," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurutnya, konsep pendaftaran pada sesi ini juga dilakukan secara pandu lalu dan ahli keluarga yang hadir tidak dibenarkan turun daripada kenderaan.

"Bermula daripada ujian saringan sehingga ke Inasisi kita menggunakan konsep pandu lalu yang secara keseluruhannya akan mengambil masa antara 25 hingga 30 minit.

"Ibu bapa juga tidak dibenarkan turun di Inasis sebaliknya sukarelawan UUM akan membantu pelajar mengangkat barang dan membantu keperluan lain," katanya.

Haim Hilman berkata, setakat ini proses pendaftaran pada hari pertama berjalan lancar dan tiada jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan 275 pelajar yang mendaftar bagi sesi pagi.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar dari wilayah utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mendaftar pada hari pertama manakala hari kedua melibatkan pelajar dari wilayah tengah dan Selatan dan hari ketiga pelajar pantai timur.

"Bagi pelajar antarabangsa serta dari Sabah dan Sarawak, tempoh pendaftaran mereka terbuka sehingga hujung bulan ini. Kita akan menyediakan kenderaan untuk membawa mereka secara terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UUM.

"Untuk pelajar antarabangsa, kita sediakan kenderaan untuk mengambil mereka dari pusat kuarantin ditetapkan ke UUM," katanya.

Sementara itu seorang pelajar, Nur Alia Natasha Zakaria, 21, memaklumkan, ini kali pertama dia menginap di kampus walaupun sudah berada di semester ketiga dalam bidang pengajian Ijazah Operasi di UUM.

Katanya, sebelum ini dia menangguhkan kemasukan ke asrama universiti itu kerana bimbang dengan situasi semasa Covid-19 yang melanda seluruh negara.

"Keadaan semakin pulih malah saya bersama rakan-rakan juga yakin dengan tahap keselamatan di UUM. Disebabkan itu kami mengambil peluang untuk merasai pengalaman tinggal di kampus," katanya.