Kes saman Siti Nordiana mungkin selesai luar mahkamah

Siti Nordiana
Siti Nordiana
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat dimaklumkan kes saman penyanyi, Siti Nordiana Alias terhadap Lan Solo, Syura dan tiga individu lain atas dakwaan memfitnahnya menerusi platform Instagram mungkin dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Ia selepas semua defendan iaitu pertama hingga ketiga, Lan Solo, 36, (Mohd Razlan Mohamed Yusof); isterinya Nur Sheila Hassim, 36; serta Syura, 35, (Zuraidah Badron) yang diwakili peguam masing-masing, menyatakan perkara tersebut.

Sementara defendan keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Ketika prosiding menerusi aplikasi Zoom di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura manakala peguam, Nurul Hafidzah Hassan serta Datuk Wan Azmir Wan Majid mewakili dua defendan lain, memaklumkan akan berbincang untuk menyelesaikan tanpa perbicaraan.

Susulan itu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin dan Ahmad Syaifulbakri Mohamed yang mewakili Siti Nordiana memaklumkan, anak guamnya terbuka untuk berbincang.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Jumaat untuk perbicaraan kes saman tersebut namun ditangguhkan ke minggu depan.

Azlan berkata, ia berikutan pernyataan saksi plaintif baru sahaja diserahkan kepada pihak defendan pada petang Khamis.

“Anak guam saya memerlukan masa untuk meneliti pernyataan saksi-saksi plaintif yang terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan 20 Oktober ini untuk merekodkan kes sama ada diselesaikan secara baik atau diteruskan secara perbicaraan.

Pada 3 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman ke atas lima individu termasuk dua rakan artis iaitu Lan Solo dan Syura atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.