10 ditahan terlibat sindiket penipuan, judi dalam talian

Antara telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas dalam serbuan di Jalan Tembaga, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Antara telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas dalam serbuan di Jalan Tembaga, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 orang termasuk tiga lelaki warga China ditahan di dua buah kediaman di Jalan Tembaga, Off Jalan Pahang di sini pada Khamis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

"Kesemua yang ditangkap bekerja sebagai operator untuk mencari pelanggan serta membuat panggilan dan mempromosikan perjudian dalam talian melalui media sosial," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Ashari berkata, premis yang disewa tersebut dijadikan pusat panggilan sindiket untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian, pelaburan tidak wujud dan penipuan pembelian dalam talian.

"Kediaman tersebut telah disewa dengan bayaran sebanyak RM3,500 sehingga RM5,000 sebulan dan mula beroperasi sejak Oktober 2020," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian.

"Antara yang dirampas ialah dua unit monitor, sebuah unit pemprosesan komputer (CPU), 32 unit telefon bimbit, lima keping kad mesin juruwang automatik (ATM), lima komputer riba dan modem," ujarnya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan: