X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

'Saya berjuang mata demi mata'

Jun Hao
A
A

SAYA berjuang mata demi mata,” demikian reaksi Leong Jun Hao yang berjaya mencipta kejutan besar menewaskan pemain ranking ke-16 dunia, Kenta Nishimoto 21-19, 21-18 pada saingan terakhir kumpulan di Piala Thomas 2020 di sini pada Khamis.

Turun pada aksi terakhir ketika Malaysia sedang ketinggalan 4-0 menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di Arena Ceres di sini, pemain berusia 22 tahun tidak gentar untuk menundukkan lawan yang lebih unggul itu.

Walaupun lama tidak beraksi pada perlawanan kompetitif selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Spain Masters, Mei lalu, Jun Hao yang menduduki ranking ke-120 dunia, mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk berlawan berhabis-habisan mengatasi Kenta, 27.

“Saya tidak fikir bahawa kita ketinggalan kerana kita sudah layak ke suku akhir, jadi masih ada peluang untuk berjuang. Sebab dia pun pemain utama...jadi saya masuk terus fokus pada kutipan mata dan mendapat keyakinan untuk terus berlawan.

“Sebab lama tak bermain dalam kejohanan besar seperti ini, jadi masa masuk ke stadium tadi agak gementar tetapi apabila masuk ke gelanggang, berjuang sahaja. Kalau diturunkan esok (dalam aksi suku akhir menentang Indonesia), saya akan buat yang terbaik untuk bantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, kapten pasukan Lee Zii Jia kecewa tidak menggunakan peluang yang ada dengan baik untuk menewaskan Kento Momota, walaupun hampir mencipta kejutan ke atas pemain nombor satu dunia itu selepas berjaya mencatatkan kemenangan 21-15 pada set pertama, sebelum kecundang 12-21, 23-21.

Lebih menyedihkan, juara Seluruh England itu yang turun selaku perseorangan utama, hampir meraih mata pertama buat Malaysia, yang mungkin boleh melonjakkan semangat barisan pemain negara, apabila mendahului 20-18 pada set penentuan.

“Memang dari set pertama nampak Momota agak keliru dengan permainan saya, tapi set kedua nampak dia makin stabil dan tukar strateginya, mata pun agak jauh, saya mengalah dan bersedia untuk ’rubber-set’,” katanya yang tewas lapan kali dalam 10 pertemuan menentang Momota.

“Namun, selepas 10 pertemuan, nampak jurang antara saya dan Momota makin dekat, latihan yang kita buat memang ada nampak peningkatan,” katanya sambil menambah mahu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum berdepan dengan Indonesia di suku akhir pada Jumaat.

Malaysia, yang memulakan kempen dengan membelasah Kanada 5-0 pada Selasa sebelum kecundang 4-1 di tangan Jepun.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas 21-13, 21-13 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Cheam June Wei kalah 22-20, 21-13 kepada Kanta Tsuneyama manakala Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Mohd Rumsani kalah 21-10, 21-16 di tangan Akira Koga-Yuta Watanabe.

Pada masa sama, Momota pula mengakui kemenangan ke atas Zii Jia sangat bermakna dan menganggap ia berjaya melonjakkan semangat rakan sepasukannya mencipta kemenangan ke atas Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann memuji aksi yang dipamerkan oleh Jun Hao, yang menurutnya ‘tenang, sabar dan terus mencari pendekatan yang sesuai’ untuk mencuri mata daripada lawannya.

Beliau turut mengakui dua gandingan beregu negara dan June Wei kurang gah pada hari ini tetapi harap mereka akan bangkit pada aksi hari ini.

“Zii Jia pula mempamerkan satu persembahan yang cukup mantap hari ini, tapi beliau perlu kukuhkan lagi kaedah mengawal perlawanan pada saat-saat terakhir supaya boleh mencipta kejayaan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!