Warga emas ditinggal tepi jalan selepas diperdaya RM10,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A
KUANTAN - Malang menimpa nasib seorang warga emas apabila dia bukan sahaja kerugian RM10,000 akibat diperdaya dua lelaki, malah turut ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 33 kilometer dari rumahnya.

Kejadian itu berlaku apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa di Kampung Baru Sungai Ling, Maran pada am 10.30 pagi pada Khamis.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memaklumkan mahu menyewa tapak tanah di hadapan rumah mangsa selama tiga bulan berjumlah RM27,000 bagi tujuan membuat kerja pencawang Telekom.

Menurutnya, mangsa yang berusia 78 tahun itu kemudian bersetuju dengan tawaran berkenaan selepas suspek menunjukkan satu cek bernilai RM27,000.

"Selepas itu, suspek membawa mangsa menaiki kenderaan mereka ke bank di bandar Temerloh kira-kira 33 kilometer dari rumah mangsa.

"Suspek turut mengarahkan mangsa membuat pengeluaran sebanyak RM10,000 dengan alasan sekiranya terlalu banyak wang dalam akaun akan menyukarkan mereka untuk memasukkan wang sewa tapak sebanyak RM27,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, mangsa seterusnya membuat pengeluaran wang kerana terlalu percaya dan yakin dengan tawaran tersebut.

Jelasnya, setelah selesai mengeluarkan wang terbabit, salah seorang daripada suspek telah mengambil wang milik mangsa dan memaklumkan wang bayaran sewa akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa yang lain.

Tambahnya, suspek meminta mangsa menunggu di hadapan sebuah bank di bandar Temerloh dan berjanji akan datang mengambilnya selepas selesai urusan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


"Bagaimanapun, selepas setengah jam menunggu, suspek masih tidak muncul. Susulan itu mangsa membuat polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.