Babi hutan berkeliaran di Persiaran Gurney

Seekor babi hutan dikesan sedang berkeliaran di hadapan dan sekitar Pasar Awam Pulau Tikus pada pagi Jumaat.
Seekor babi hutan dikesan sedang berkeliaran di hadapan dan sekitar Pasar Awam Pulau Tikus pada pagi Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Seekor babi hutan mati ditembak selepas dikesan berkeliaran di kawasan Persiaran Gurney di sini pada jam 9 pagi, Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, haiwan itu ditembak Jabatan Perhilitan Pulau Pinang selepas ia gagal ditangkap.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan bimbang haiwan tersebut mengganggu serta membahayakan orang awam.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 9.05 pagi yang mengatakan haiwan tersebut sedang berkeliaran di hadapan Pasar Awam Pulau Tikus.

"Haiwan itu kemudiannya berkeliaran ke arah Persiaran Gurney sebelum dikesan berada di laluan pejalan kaki di kawasan terbabit.

"Lima orang anggota sampai ke lokasi dan cuba menangkap haiwan tersebut namun gagal kerana mamalia itu agak agresif sebelum lari ke kawasan jalan raya. Haiwan itu kemudiannya dilihat memasuki kawasan semak di belakang Tapak Penjaja Makanan di Persiaran Gurney," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Aizat berkata, pihaknya terpaksa menghubungi Jabatan Perhilitan Pulau Pinang untuk bantuan sebelum haiwan itu ditembak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini menimpa orang awam.

Beliau berkata, tiada kecederaan dan kerosakan terhadap petugas, orang awam dan harta benda dilaporkan dalam kejadian tersebut serta operasi tamat pada jam 9.40 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial berhubung kehadiran seekor babi hutan yang berkeliaran di hadapan Pasar Awam Pulau Tikus dan sebelum ditemui di Persiaran Gurney di sini.