'Syarikat mega perlu kurang bergantung kepada pekerja asing'

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat mega di negara ini perlu mengambil langkah serius mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi pekerja asing selepas negara dilanda pandemik Covid-19 yang serius.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inilah masa yang tepat untuk membuka lebih banyak peluang kepada tenaga tempatan.

Beliau turut memberi contoh ada beberapa syarikat mega pengeluar sarung tangan mencatatkan keuntungan yang sangat besar sepanjang pandemik Covid-19 sehingga kini.

"Di sebalik cerita kesempitan, kesengsaraan dan penderitaan banyak pihak, kebanyakan syarikat ini dan pemilik mereka mendapat durian runtuh dan muncul sebagai bilionair baharu negara kita.

"Sehingga kini mereka semua dijangka terus merekodkan keuntungan besar untuk tahun akan datang. Ada yang merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam sejarah melepasi syarikat petroleum negara," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Khaled Nordin, keuntungan lumayan yang dinikmati syarikat mega ini perlu menjadi pendorong malah pendesak kuat menyumbang kepada negara dengan cara yang lebih bersepadu selain jalan cukai, sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan lain-lain.

Jelasnya langkah terbabit boleh dimulakan dengan mengurangkan kebergantungan besar-besaran kepada pekerja asing kerana kos meningkat bukan alasan.

"Menurut pengiraan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), terdapat 71,800 individu yang bekerja dalam industri sarung tangan getah di Malaysia pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, hanya 39 peratus atau 28,000 orang merupakan warganegara Malaysia manakala baki 61 peratus iaitu 43,800 lagi pekerja asing. Dengan kadar permintaan yang semakin meningkat, dijangkakan sektor ini memerlukan kira-kira 25,000 lagi pekerja tambahan," katanya.

Beliau berharap syarikat tempatan yang mengumpul kekayaan besar di negara ini akan menggaji lebih ramai pekerja tempatan.

"Saya yakin, ramai anak tempatan yang mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan jika syarikat pengeluaran di negara ini menawarkan gaji yang tinggi, manfaat perubatan dan kesihatan yang munasabah dan peluang latihan berkualiti," katanya.