10 remaja tidak lengkap vaksin disaman daki Bukit Panau

Mereka yang mendaki diminta menunjukkan Mysejahtera masing-masing untuk tujuan pengesahan dua dos vaksin.
Mereka yang mendaki diminta menunjukkan Mysejahtera masing-masing untuk tujuan pengesahan dua dos vaksin.
A
A
A

TANAH MERAH - Seramai 10 remaja berusia 14 hingga 18 tahun disaman kerana dipercayai melakukan aktiviti pendakian di Bukit Panau tanpa lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.

Tindakan mereka 'mencuba nasib' walaupun masih belum lengkap divaksinasi akhirnya terbongkar apabila pihak berkuasa memeriksa MySejahtera.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff berkata, saman berkenaan dikeluarkan pihaknya semasa melakukan pemantauan pada jam 7.30 pagi di kaki Bukit Panau pada Jumaat.

Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai dua anggota dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan.

"Kita mendapati seramai 250 pengunjung membanjiri kawasan tersebut dan semasa membuat pemeriksaan awal, 10 daripada mereka dikenakan saman kerana beriadah sebelum cukup dua dos vaksin. Setiap satu kompaun bernilai RM2,000.

"Selain itu, 15 individu turut diberikan amaran kerana dipercayai leka sehingga mengabaikan penjarakan fizikal dan penjagaan prosedur operasi standard (SOP). Kita buat catatan amaran, jika masih berulang, kita akan saman," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, operasi bersepadu itu diadakan secara berkala dan hampir setiap minggu polis dan KKM akan membuat hebahan mengenai pematuhan SOP dan amaran yang bersesuaian.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan pengunjung beriadah namun mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam mengawal penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan: