X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Bekas Timbalan Pengarah Imigresen didenda RM5,000

Nurulshima (tengah) diiring peguamnya di Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Bekas Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sembilan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat atas tuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan bekalan dan perkhidmatan jabatan itu tiga tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nurulshima Mislan, 45, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Hakim turut memerintahkan Nurulshima dijatuhi hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda namun tertuduh membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurulshima dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut merupakan dokumen palsu ketika bertugas di Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam daerah Seremban.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Imigresen Negeri Sembilan pada 2018.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.

Muhammad Syafiq dalam rayuannya sebelum itu memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit Supraventricular Tachycardia (SVT).

Katanya, penyakit itu perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang mana degupan jantungnya akan berhenti pada bila-bila masa jika tidak mendapat rawatan segera.

"Tertuduh juga menanggung empat anak berusia 9 hingga 18 tahun yang masih belajar," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!