Kerajaan, SPR tentukan SOP pilihan raya: Muhyiddin

MPN menyerahkan kepada kerajaan dan SPR untuk membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika pilihan raya dalam proses pemulihan negara berdepan jangkitan virus itu.Gambar hiasan, gambar kecil: Muhyiddin Yassin
MPN menyerahkan kepada kerajaan dan SPR untuk membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika pilihan raya dalam proses pemulihan negara berdepan jangkitan virus itu.Gambar hiasan, gambar kecil: Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyerahkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membuat keputusan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika pilihan raya dalam proses pemulihan negara berdepan jangkitan virus itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, soal SOP pilihan raya tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MPN kali keempat yang diadakan pada Jumaat.

“Kita tak bincang soal pilihan raya dalam mesyuarat.

“Kita serah kepada kerajaan, (dan) kita serah kepada SPR untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.

Pembubaran berkenaan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutus surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dan terbaru, SPR dijangka mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan PRN Melaka pada Isnin depan.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di salah sebuah hotel di Melaka.