Bajet 2022: Penyedia peranti mudah alih harapkan pelepasan cukai

Penyedia peranti mudah alih berharap kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai ke atas peranti berkeupayaan 5G dalam pasaran menerusi Bajet 2022 untuk mendorong orang ramai beralih kepada telefon baharu susulan pelaksanaan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.Gambar hiasan
Penyedia peranti mudah alih berharap kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai ke atas peranti berkeupayaan 5G dalam pasaran menerusi Bajet 2022 untuk mendorong orang ramai beralih kepada telefon baharu susulan pelaksanaan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.Gambar hiasan
A
A
A

PENYEDIA peranti mudah alih berharap kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai ke atas peranti berkeupayaan 5G dalam pasaran menerusi Bajet 2022 untuk mendorong orang ramai beralih kepada telefon baharu susulan pelaksanaan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini.

OPPO Malaysia menjelaskan insentif itu akan membantu lebih banyak pihak memperoleh peranti teknologi terkini untuk menyokong keperluan peribadi dan perniagaan memandangkan kehidupan semakin menekankan digital.

“OPPO percaya setiap orang harus diberi peluang yang sama untuk menikmati penggunaan 5G dengan kemudahan bagi memperoleh peranti berkeupayaan 5G.

“Kami optimis dengan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela), ia akan membantu negara mencapai matlamat agenda digital dan OPPO menyokong sektor telekomunikasi dengan membawa peranti berkeupayaan 5G yang sangat mudah didapati,” katanya kepada Bernama.

Penyedia peranti mudah alih itu juga berharap kerajaan meneruskan peruntukan untuk subsidi telefon pintar di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana ia akan membantu komuniti B40 membeli peranti mudah alih 4G yang baik susulan rancangan penamatan rangkaian 3G oleh kerajaan tahun ini.

“Subsidi itu dilihat sebagai bantuan penting bagi kumpulan B40 memandangkan aktiviti kerja dan pembelajaran dalam talian akan terus menjadi kelaziman dalam persekitaran endemik,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali satelit, MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) pula berharap dana terus diberikan menerusi Bajet 2022 untuk membantu mengurangkan jurang jalur lebar di lokasi tanpa liputan 4G atau gentian.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT Yau Chyong Lim berkata, ini berlaku terutama di beberapa kampung Orang Asli di Banjaran Titiwangsa, selain di Malaysia Timur, yang sukar dan jauh daripada perkhidmatan jalur lebar.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mewujudkan masyarakat lebih inklusif di serata Malaysia, aspek ketersambungan jalur lebar ini sepatutnya mudah diakses, termasuk bagi kalangan yang kurang mendapat perkhidmatan itu.

“Semua rakyat mempunyai hak yang sama terhadap perkhidmatan digital termasuk dalam memastikan anak-anak mendapat akses yang seragam bagi pendidikan secara dalam talian,” katanya.

Beliau turut berkongsi komitmen MEASATdalam menyokong visi kerajaan melalui inisiatif Jendela dan berharap syarikat itu dapat meningkatkan pemasangan perkhidmatan tambahan MEASAT CONNECTme NOW di lokasi terpencil bagi meneruskan penyampaian khidmat kepada rakyat yang mempunyai sambungan jalur lebar di seluruh negara, sekali gus dapat mengatasi jurang digital.

Sementara itu, Profesor Adjung Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tharek Abdul Rahman berkata Bajet 2022 bagi sektor telekomunikasi itu perlu diperuntukkan secara adil bagi mengelak berlakunya pertindihan penggunaan sumber bagi memastikan kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G.

“Kita perlu memastikan bajet bagi sektor itu memberi tumpuan kepada aspek perkongsian dan pengoptimuman sumber sedia ada seperti infrastruktur telekomunikasi bagi memanfaatkan sepenuhnya penggunaan rangkaian tersebut.

“Malah, sekarang merupakan tempoh paling penting dan kritikal untuk industri telekomunikasi mengoptimumkan serta berkongsi sumber bagi mengelak impak dari segi kos penggunaan rangkaian itu dilepaskan kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, Tharek juga berharap Bajet 2022 itu akan menyaksikan kerajaan mencadangkan satu dasar yang dapat memberi manfaat kepada rakyat selain membantu mereka untuk pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.- Bernama