Hutan Bandar Johor Bahru kembali meriah

Suasana di Anjung Selera kembali meriah pada Jumaat.
Suasana di Anjung Selera kembali meriah pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hutan Bandar Johor Bahru yang terletak di tengah bandar raya kembali meriah dengan kehadiran pengunjung beriadah setelah sekian lama sepi akibat pandemik Covid-19.

Kesempatan cuti hujung minggu bermula Jumaat di negeri ini digunakan warga kota untuk menghabiskan masa bersama keluarga di samping menjamu selera di kawasan Anjung Selera Hutan Bandar seawal jam 8 pagi.

Seorang pengunjung Abdul Samad Yaacob, 54, berkata, dia dan isteri Norhana Kandar, 51, memilih untuk ke Hutan Bandar Johor Bahru kerana lokasinya yang dekat dengan pelbagai kemudahan gerai makan, tandas, taman permainan dan trek pejalan kaki.

"Hutan Bandar Johor Bahru memang tempat terkenal di Johor dan menjadi pilihan saya dan isteri serta keluarga datang beriadah di sini pada setiap hujung minggu.

"Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) sebelum ini, kami tidak dapat berkunjung ke sini. Selepas saya dan isteri lengkap menerima vaksin dan kebenaran rentas negeri diberikan, saya dan isteri yakin untuk kembali beriadah di sini semula," katanya.

Dalam pada itu, Norhana berkata, selain prosedur operasi standard ( SOP) kepada peniaga seperti mengimbas kod MySejahtera dan mengambil suhu, pengunjung juga perlu mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga jarak sosial.

Gambar dari kiri: Samsul Muharief, Abdul Samad, Norhana
Gambar dari kiri: Samsul Muharief, Abdul Samad, Norhana

"Alhamdulillah, rasa lega sedikit selepas kerajaan mula beri kelonggaran seperti kebenaran 'dine-in' dan rentas negeri. Namun orang ramai tidak boleh lupa untuk terus menjaga SOP.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana jangkitan Covid-19 masih berada dalam masyarakat dan kita sepatutnya bersama-sama menanganinya," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Samsul Muharief Mohd Fadli, 60, berkata, peningkatan pengunjung pada hujung minggu memberi kelegaan kepada peniaga sepertinya di Anjung Selera Hutan Bandar Johor Bahru yang sebelum ini terjejas ekoran PKP.

"Bersyukur sangat, kalau sebelum ini memang peniaga di sini susah. Hendak dapat RM100 sehari sangat payah, tetapi sekarang kami sangat syukur kerana pengunjung sudah mula ramai.

"Kalau sentuh soal SOP semua pengunjung telah mengetahui tanggungjawab masing-masing begitu juga dengan peniaga di sini," katanya.