"Saya ingin tunjuk rasa syukur dengan bersedekah makanan kepada gelandangan."

MANNAN (kiri) memberi makanan secara percuma kepada gelandangan di kota Washington D.C sejak beberapa tahun lalu.
A
A

TIADA siapa sangka restoran bertaraf lima bintang yang terletak hanya beberapa blok dari White House, Washington D.C memberi makanan kepada orang miskin dan gelandangan di kota besar itu.

Istimewanya, semua secara percuma dan pemberian itu dilakukan setiap hari tanpa gagal.

Kazi Mannan yang merupakan tuan empunya Restoran Sakina Halal Grill berkata kepada media antarabangsa, beliau tidak kisah berbuat demikian.

Siapa Mannan, lelaki yang sangat pemurah ini? Mannan ialah seorang imigran yang datang dari sebuah perkampungan kecil di Pakistan.

Semasa dia mula menjejak kaki ke Washington pada tahun 1996, dia hanya mempunyai US$5 dalam poketnya.

MANNAN tidak mahu pengalaman buruknya sebagai gelandangan suatu ketika dulu dialami orang lain.
MANNAN tidak mahu pengalaman buruknya sebagai gelandangan suatu ketika dulu dialami orang lain.

PERNAH HIDUP JADI GELANDANGAN SUATU KETIKA DAHULU

"Satu ketika dulu saya seperti mereka (gelandangan) yang tidak mempunyai wang untuk hidup. Saya berjalan melalui restoran-restoran tetapi saya tiada wang mahu beli makanan. Satu hal lagi, tiada siapa yang benarkan kita memasuki kawasan restoran mereka," ceritanya.

Selepas rezeki Manan melimpah-ruah dan dia sudah mempunyai kewangan kukuh, lelaki ini membuka sebuah restoran berasaskan makanan Pakistan pada tahun 2013. Katanya, dia berazam tidak mahu nasib yang pernah dilaluinya dulu, dialami oleh orang lain.

Kata lelaki ini, makanan dan 'atmosfera' yang dinikmati oleh golongan gelandangan sama seperti para pelanggannya yang lain.

"Jika, mereka berkata mahukan makanan percuma, saya beri. Saya tidak akan tanya soalan dan mengadili mereka," katanya yang mempraktikkan 'polisi' itu sejak lima tahun lalu.

ANTARA makanan yang disediakan di restoran berkenaan.
ANTARA makanan yang disediakan di restoran berkenaan.

SUDAH BERI 16,000 HIDANGAN PERCUMA

Sepanjang tahun 2018, Mannan menganggarkan restorannya telah menyediakan lebih 16,000 hidangan percuma.

Ujar Mannan lagi, disebabkan sudah lama menyediakan perkhidmatan ini, beliau dan pekerjanya sudah mengenali komuniti gelandangan di Washington.

"Ramai antara mereka sudah menjadi pelanggan tetap kami. Kami kenal mereka dan apa yang mereka mahu untuk makan.

"Ada antara mereka yang mempunyai masalah gigi, jadi, kita beri mereka makan ayam tanpa tulang. Ada juga gelandangan yang berdepan dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah.

RESTORAN Sakina Halal Grill hanya terletak beberapa blok sahaja dengan bangunan White House.
RESTORAN Sakina Halal Grill hanya terletak beberapa blok sahaja dengan bangunan White House.

HARTAWAN AJAR KITA SUPAYA JANGAN PANDANG RENDAH PADA GELANDANGAN

Mannan berkata, sepanjang bersama mereka yang kurang bernasib baik itu, dia melihat orang ramai sangat takut dengan gelandangan kerana mereka sangat kotor, ada masalah mental, masalah kesihatan.

"Masyarakat fikir, kalau ajak gelandangan masuk ke dalam (restoran), ia akan rosakkan bisnes. Saya beritahu mereka, lihat pada kehidupan saya dan lihat pada restoran saya, adakah saya nampak kotor," soalnya.

Restoran Sakina Halal Gril sungguh memukau, segala dekorasi termasuk kertas dinding premis diimport dari Pakistan.

Ujar Mannan: "Saya tak mahu sebarang derma. Tetapi jika kamu datang untuk makan di sini, itu merupakan tanda sokongan anda dalam membantu restoran yang menawarkan kebaikan dan kasih sayang kepada semua orang.

"Sesungguhnya, saya ingin menunjukkan rasa syukur dengan memberi sedekah berbentuk makanan kepada gelandangan."