Cawangan UMNO Sabah perlu perkemas jentera parti hadapi PRU15

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu ahli UMNO di negeri itu memperkemaskan jentera parti sempena persidangan UMNO cawangan yang bermula hari ini bagi menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, persidangan cawangan akan menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

"Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan persidangan cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat Bahagian dan fokus kita pada Bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.

"Ketepikan dulu soal jawatan dalam Bahagian atau soal calon pada PRU akan datang, yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti," katanya menerusi kenyataan sempena persidangan UMNO cawangan bermula hari ini (Jumaat) hingga 30 November depan.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji dalam keputusan PRU ke-14 lepas.

Beliau berkata, walaupun persidangan UMNO cawangan berlangsung dalam pandemik Covid-19 tetapi ia bukan penghalang untuk ahli meneruskan agenda perjuangan parti.

Bung Moktar turut mengingatkan supaya persidangan itu dilaksanakan dengan penuh semangat, berdisiplin dan sentiasa menjaga imej parti termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan mahu ketua cawangan agar mengenal pasti ahli-ahli yang masih berdaftar di cawangan masing-masing untuk dikemas kini bagi memudahkan gerak kerja semasa PRU nanti.

Artikel Berkaitan:

"Data keahlian ini penting bukan sahaja untuk gerak kerja parti sekali gus memudahkan parti membantu ahli-ahli parti yang berhadapan musibah supaya dapat dibantu," katanya. - Bernama