Tinggalkan kereta, larikan diri guna Sungai Golok

 Kereta yang ditinggalkan lelaki terbabit didapati dipenuhi dengan beras siam.
Kereta yang ditinggalkan lelaki terbabit didapati dipenuhi dengan beras siam.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan sebuah perahu bagi mengelak ditahan ketika serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 di Kampung Simpangan di sini pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu bagaimanapun berjaya menemukan sebanyak 900 kilogram (kg) beras siam pelbagai jenama dalam sebuah kereta.

Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, sepasukan anggota yang membuat rondaan bermotosikal di kawasan Kuala Jambu menemui seorang lelaki memandu kereta jenis Proton Waja hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki tersebut memberhentikan kereta di sebuah rumah di belakang Balai Polis Simpangan, Kampung Simpangan, Tumpat.

“Anggota menghampiri kereta tersebut. Sebaik menyedari kehadiran kami, dia bertindak melarikan diri dan terus menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, lelaki tersebut meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 900 kg beras siam bernilai RM3,600. Beras dan kereta yang bernilai RM12,000 itu dirampas dan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: