PH perlu bincang kerusi PRU15 secara dalaman

MA Tinagaran
MA Tinagaran
A
A
A

IPOH - Sebarang rundingan mengenai kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam komponen Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan secara dalaman bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi dan penyokong.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, keputusan untuk meletakkan calon di kerusi tertentu tertakluk kepada pimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, seperti hasrat Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun, ia perlu disuarakan melalui mesyuarat bersama pimpinan PH Perak yang diketuai Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

"Kenyataan secara terbuka seperti ini hanya akan mengelirukan pengundi dan penyokong PH di kawasan tersebut sedangkan tiada sebarang keputusan telah dibuat oleh pimpinan tertinggi parti.

"Jadi, saya berpandangan sebarang hasrat secara terbuka untuk bertanding di kawasan tertentu perlu dibuat mengikut saluran yang betul iaitu melalui mesyuarat parti dan bukan umumkan secara terbuka di media," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Aziz seperti dilaporkan senuah akhbar tempatan yang menyatakan keyakinan bahawa PH akan meletakkannya bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 nanti.

Tinagaran berkata, pembahagian kerusi Parlimen tidak dibincangkan di peringkat negeri tetapi ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Menurutnya, jika terdapat cadangan di peringkat negeri mengenai perkara tersebut, ia akan dibawa ke pengetahuan pimpinan pusat untuk dibuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan mana-mana individu mengumumkan sendiri kawasan pilihan yang ingin ditandingi secara terbuka merupakan sesuatu yang kurang sihat kerana membelakangi semangat musyawarah dalam sebuah koalisi.