Dua kali perkahwinan gagal

Awin (kanan) ketika ditemuramah wartawan Sinar Harian Johor Bahru, Shafiq Tino di rumahnya di Tampoi pada Khamis.
Awin (kanan) ketika ditemuramah wartawan Sinar Harian Johor Bahru, Shafiq Tino di rumahnya di Tampoi pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tekanan jiwa dan trauma adalah antara pengalaman pahit seorang usahawan wanita dari Tampoi, di sini selepas dua perkahwinannya pada 2013 dan 2017 berakhir dengan perceraian.

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Awin, 36, dia menghadapi pelbagai dugaan demi menyara tiga anak perempuannya selepas bercerai.

Berkongsi pengalamannya, Awin berkata, perkahwinan pertamanya musnah pada 2013 ketika dia masih muda dan tidak tahu untuk menguruskan kehidupan berkeluarga.

“Saya masih muda ketika itu. Masa suami meninggalkan saya, saya mempunyai dua anak. Boleh dikatakan saya lost tidak tahu apa yang perlu dibuat, kerana sepanjang perkahwinan, lelaki itu sediakan semuanya, masa itu untuk ke bandar pun saya tidak tahu macam mana.

“Akhirnya saya mula diserang depresi, sebab ketika itu sumber pendapatan pun saya tiada, kami seperti ditinggalkan di tengah-tengah laut tanpa sebarang haluan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Tampoi di sini pada Khamis.

Awin berkata, apa yang paling merunsingkan fikirannya ketika itu adalah untuk membeli keperluan harian anak yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.

“Anak masih kecil, masih minum susu dan pakai lampin. Saya anggap ini pengalaman paling mencabar pernah saya lalui sendirian. Perkahwinan saya itu boleh dikatakan gagal kerana saya dan bekas suami masih muda, kami sering bergaduh kerana kewangan.

“Ia menjadi lebih parah selepas campur tangan keluarga bekas suami. Akhirnya perceraian itu berlaku dan kami memilih haluan masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) itu turut memberitahu dirinya kembali menemui kekuatan untuk menjalani kehidupan apabila mula berkecimpung dalam bidang sukarelawan beberapa bulan selepas itu.

Awin berkahwin kali kedua namun hanya bertahan selama empat bulan pada 2017.

Dia sekali lagi diserang depresi dan kali ini ia lebih serius kerana ditinggalkan bekas suami dalam keadaan sarat mengandung.

Awin berkata, sebaik perceraian kali kedua itu, tekanan perasaan dialaminya menjadi semakin serius menyebabkan dirinya sukar mencari kerjaya tetap.

Namun, perkara tersebut juga yang menjadi titik tolak dalam dirinya untuk bergelar usahawan dalam talian dengan menjual makanan.

“Saya kuatkan semangat dan cuba untuk berniaga sendiri. Saya masak dan buat perniagaan makanan secara pesanan. Tidaklah mewah tetapi rezeki saya tidak putus,” ceritanya.