X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Kursus pasca perkahwinan kekang kes perceraian

Penguasaan ilmu kekeluargaan sangat penting bagi membantu pasangan memanjangkan hayat perkahwinan mereka. - Foto 123RF
A
A

SUDAH menjadi lumrah pasangan mendirikan rumah tangga pasti ingin memastikan mahligai dibina kekal sehingga ke akhir hayat. Tiada pasangan yang diikat dengan lafaz nikah mahu rumah tangga mereka dilanda badai.

Namun, ujian ALLAH mengatasi segala perancangan hamba-Nya. Saban hari ada sahaja kes perceraian dilaporkan seperti didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Lima permohonan perceraian pasangan Islam diterima Mahkamah Syariah di seluruh negara dalam tempoh sejam atau purata 121 permohonan difailkan dalam tempoh sehari.

Malah, berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah, bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos lalu, sebanyak 66,440 permohonan cerai difailkan.

Selangor mencatatkan daftar permohonan cerai tertinggi dengan 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982) dan Perak (5,921).

Angka itu tentu membimbangkan kerana dikhuatiri akan memberikan kesan buruk kepada institusi kekeluargaan bagi tempoh jangka panjang.

Masalah rumah tangga jika tidak dibendung boleh membuatkan seseorang hilang pertimbangan seperti yang berlaku dalam kejadian di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang, Kuching pada Rabu.

Seorang anggota tentera berusia 28 tahun mengamuk dan menembak dirinya sendiri. Suspek sebelum itu datang ke rumah keluarga isterinya untuk berbincang. Mereka dikatakan dalam proses perceraian.

Berita aktres popular, Siti Saleha, 31, yang memfailkan perceraian terhadap suami, Ahmad Lufti Azhar, 35, selepas berdepan keretakan rumah tangga juga mengejutkan. Sebelum itu, pelakon popular era 1990-an, Mas Anizan, 48, turut mengesahkan beliau sudah bercerai.

Dalam hal ini, penguasaan ilmu kekeluargaan sangat penting bagi membantu pasangan memanjangkan hayat perkahwinan mereka. Jika sebelum berkahwin, pasangan diwajibkan menghadiri kursus pra perkahwinan, apa kata mereka yang sudah mendirikan rumah tangga diberikan kursus pasca perkahwinan atau kaunseling.

Berilah suami isteri peluang dan ruang untuk memperbaiki hubungan agar kehidupan rumah tangga lebih intim dan harmoni selamanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!