Dua keadaan permohonan kebenaran pindah milik

Datuk Osman Sapian
Datuk Osman Sapian
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memaklumkan terdapat dua jenis keadaan permohonan kebenaran pindah milik tanah.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, jenis keadaan dimaksudkan adalah kebenaran pindah milik tanah pemaju kepada pembeli akhir melibatkan permohonan pelepasan lot Bumiputera.

Menurutnya, satu lagi jenis keadaan adalah kebenaran pindah milik tanah melibatkan individu atau syarikat kepada individu atau syarikat.

“Bagi permohonan kebenaran pindah milik tanah pemaju kepada pembeli akhir melibatkan permohonan pelepasan lot Bumiputera, jika pembeli bukan Bumiputera, pemaju perlu memohon kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor Bahagian Perumahan untuk permohonan pelepasan lot Bumiputera.

“Jika diluluskan, pelepasan ini hanya terpakai selagi mana hartanah itu tidak dipindah milik kepada Bumiputera. Endorsan lot Bumiputera masih dikekalkan. Terdapat elemen denda atau caj penalti dikenakan bagi pelepasan lot Bumiputera yang perlu dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN),” katanya pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Osman menjawab soalan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) mengenai sebab yang mengakibatkan permohonan penukaran status rumah lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera mengambil masa permohonan yang panjang.

Katanya, bagi permohonan kebenaran pindah milik tanah melibatkan individu atau syarikat kepada individu atau syarikat, bagi kategori rumah kedai kos rendah atau sederhana rendah hanya boleh dipertimbangkan jika disertakan dengan surat persetujuan dari SUK Perumahan.

“Permohonan kebenaran pindah milik tanah lot Bumiputera daripada Bumiputera kepada bukan Bumiputera sama ada individu atau syarikat hanya boleh dipertimbangkan jika disertakan dengan iklan asal surat khabar iaitu tiga kali dalam masa tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

“PBN juga telah membuat perwakilan kuasa kepada Menteri Besar Johor bagi menimbang apa-apa permohonan kebenaran pindah milik tanah antara kaum dan yang melibatkan pihak-pihak permohonan Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam Ringkasan Mesyuarat 699/92 pada tahun 1992,” katanya.

Osman berkata, permohonan perlu dibuat di Pejabat Tanah Daerah atau Pejabat Tanah Galian mengikut di mana hak milik tanah didaftarkan.

Katanya, permohonan akan diproses di pejabat-pejabat yang berkenaan dan seterusnya dimajukan kepada pejabat Menteri Besar Johor untuk pertimbangan kelulusan.

“Tempoh masa yang diambil bergantung kepada permohonan lengkap dan menepati senarai semak yang telah ditetapkan.

“Ia juga bergantung kepada sebab-sebab permohonan, pemilikan tanah rumah atau tanah lain oleh pemohon dan juga melihat kepada tempoh pemilikan tanah oleh pemilik tanah bagi satu-satu hak milik yang dimohon,” katanya.