MKT UMNO kecewa penularan audio babit Perdana Menteri

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Isu penularan audio perbualan membabitkan seorang pemimpin politik di Melaka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di sini, malam ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkara tersebut dibawa dalam perbincangan oleh ahli MKT.

Tambah beliau, pihaknya akan menyiasat mengenai perkara itu bagi memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa depan.

"Perkara ini dah berlaku banyak, kita berasa kecewa kerana pihak tidak bertanggungjawab suka merakam perbualan telefon orang lain.

"Ia sepatutnya menjadi privasi dan ada ahli MKT menyatakan kekecewaan dan kita menyatakan pendirian kita bahawa ia perlu disiasat,” katanya kepada media selepas mesyuarat MKT di sini pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial audio perbualan dipercayai antara Perdana Menteri dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron itu berkisar kepada situasi terkini politik di Melaka.

Dalam pada itu, Zahidi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut kerana sebelum ini pernah berlaku kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang berlaku pula kepada Perdana Menteri dan perkara itu cukup memalukan.

“Kita juga akan adakan siasatan sama ada syarikat telekomunikasi terbabit dalam merakam perbualan itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mencari kaedah bagaimana untuk mencegah perkara itu daripada berlaku lagi.

"Kita belum ada laporan polis, tapi kita tengok selepas ini kalau perkara ini menjadi trend, ia tidak baik, bahawa privasi orang sudah diceroboh.

"Kalaulah mereka yang terbabit itu sendiri merakam contohnya perbualan antara Perdana Menteri dengan pihak sebelah lagi, kita tak tahu, sudah tentu Perdana Menteri tak merakam.

"Kita tak mahu ada orang lain merakam dan menggunakan ini sebagai kempen politik pilihan raya. Ini sesuatu yang tidak baik," jelasnya.