Kawasan berhampiran loji mula terima bekalan air

Air Selangor gerakkan bantuan bekalan air di kawasan yang terjejas berikutan LRA SSP1 dihenti tugas untuk beri laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal. - Foto FB Air Selangor
Air Selangor gerakkan bantuan bekalan air di kawasan yang terjejas berikutan LRA SSP1 dihenti tugas untuk beri laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal. - Foto FB Air Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kawasan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah mula menerima bekalan air setakat jam 7 malam Khamis.

Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor) memaklumkan, beberapa kawasan sebelum ini telah menerima bekalan air secara berperingkat pada jam 4 petang hari sama.

Bagaimanapun, Air Selangor menjelaskan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Pemulihan sepenuhnya bekalan air dijangka jam 9 malam Sabtu," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Air Selangor pada Khamis.

Air Selangor memberitahu, syarikat itu akan terus menggerakkan bantuan bekalan air dan mengagihkan air botol minuman lima liter kepada pengguna terjejas.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, gangguan disebabkan LRA SSP1 dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan: